Rabu, 19 April 2017 | 1:21am

MSN yakin FAM ada formula siapkan skuad B-22

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari formula terbaik bagi mempersiapkan skuad bawah 22 tahun (B-22) untuk menghadapi Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dari 18 hingga 30 Ogos ini.


DATUK Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata MSN tidak mempunyai masalah dengan perubahan struktur organisasi dalam badan induk bola sepak negara itu, malah beliau yakin ia dapat memantapkan lagi persediaan skuad B-22 itu.

"Perubahan jurulatih tidak ada masalah kerana Datuk Ong Kim Swee bukan asing dengan kita di MSN. Selama ini beliau sentiasa terbabit dengan program kita dan itu tidak menjadi isu besar. Sesiapa sahaja dipilih oleh FAM untuk menjadi jurulatih, kita hormati kerana mereka lebih mengetahui.

"Kita akan beri sokongan dengan menyediakan khidmat sains sukan kepada pemain seperti yang diminta pengurusan FAM dalam memastikan pasukan ini dapat bersedia dengan lebih baik menjelang Sukan SEA," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program ''One State One University One Centre' di MSN di sini, hari ini.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dengan FAM mengenai Fasa III Program Kita Juara 2017 hari ini, beliau berkata MSN bersetuju dengan beberapa pendekatan yang akan diambil oleh FAM dalam program latihan untuk pasukan B-22, pasukan bola sepak wanita, futsal lelaki dan wanita.

"Kita dimaklumkan oleh FAM mengenai kedudukan jurulatih yang terbabit bagi setiap pasukan dan kita bersetuju dengan apa telah FAM lakukan dan akan bagi sokongan kepada FAM sebaik mungkin seperti kita beri sokongan kepada sukan-sukan lain untuk menghadapi Sukan SEA 2017," katanya.

Mengulas mengenai peluang skuad B-22 untuk meraih pingat emas dalam keadaan persediaan pasukan yang singkat, Ahmad Shapawi berkata beliau yakin dengan pemain dipilih menyarung jersi negara yang telah melakukan persiapan masing-masing ketika beraksi dalam Liga Malaysia.

"Pada saya, tidak timbul persiapan saat akhir kerana kebanyakan pemain adalah mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Kita berharap berbaki empat atau lima bulan ini, usaha lebih serius dapat dilakukan FAM agar pemain dapat melakukan latihan dengan lebih baik khususnya skuad bawah 22 tahun lelaki.

"Menerusi Program Kita Juara, sasaran kita untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA dan untuk muncul juara keseluruhan, kita kena menang banyak pingat emas.

"Bola sepak adalah sukan paling popular dan kalau dapat menang emas, dan muncul juara keseluruhan, akan lebih manis lagi," katanya.

Untuk rekod, skuad bola sepak negara meraih pingat emas pada edisi 2009 di Laos dan 2011 di Jakarta. Dalam pada itu, Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan kutipan 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X