Selasa, 18 April 2017 | 2:32pm

DUN Ayer Hitam tak pernah dipinggirkan


PEMANGKU Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sharif. - Foto Amran Hamid

JERLUN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di bawah Parlimen ini tidak pernah dianaktiri atau diabaikan kerajaan negeri atau Barisan Nasional (BN) walaupun status pimpinannya kini sudah beralih arah menyokong pembangkang.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sharif, berkata DUN Ayer Hitam tidak terkecuali daripada menerima perhatian dan bantuan secukupnya untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat di kawasan itu terutama dalam soal baik pulih rumah dan ban, serta pemasangan lampu jalan.

"Pucuk pimpinan BN negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memberi kepercayaan untuk saya memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun dan kita tak pernah bersikap pilih kasih walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam sudah beralih menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"DUN Ayer Hitam adalah DUN anak angkat BN Kedah, jadi tak timbul soal ia dipinggirkan...buktinya bagi dua DUN dalam Parlimen Jerlun ini, kita memperoleh peruntukan RM200,000 bagi setiap satu DUN disalurkan Menteri Besar yang kita salurkan kepada cawangan yang memerlukan bantuan.

"Bantuan itu termasuklah bagi program kemasyarakatan membabitkan baik pulih rumah, ban, sungai dan pemasangan tiang lampu, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Ziarah Kasih anjuran Jabatan Penerangan Kedah di Kuala Sanglang, dekat sini.

Pada program itu, sebanyak 10 buah rumah daif di DUN Ayer Hitam diberi bantuan selain pengagihan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Abu Hassan yang juga ADUN Kota Siputeh, berkata sehingga kini UMNO Bahagian Jerlun meluluskan program baik pulih rumah membabitkan 30 buah, selain memasang 250 tiang lampu dalam DUN Ayer Hitam.

"Melalui maklumat yang kita perolehi kira-kira 1,200 rumah lagi di DUN Ayer Hitam ini memerlukan peruntukan bagi kerja baik pulih dan kita akan berusaha bagi menyelesaikan masalah terbabit, " katanya.

DUN Ayer Hitam yang mempunyai kira-kira 30,000 penduduk dimenangi BN melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Berita Harian X