Isnin, 17 April 2017 | 10:03pm

Azizulhasni, Chong Wei, calon Olahragawan Kebangsaan


MOHD Azizulhasni Awang (kiri) dan Datuk Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang antara yang disenarai calon pemenang Anugerah Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2016 yang dijadualkan pada 26 April ini.

Selain The Pocket Rocketman yang masih segar dengan kejayaan di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, Khamis lalu, turut disenaraikan dalam kategori sama pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, juara dunia tiga kali, Mohd Al Jufferi Jamari (silat) dan raja boling negara, Muhammad Rafiq Ismail.

Atlet yang dicalonkan bagi Anugerah Olahragawati Kebangsaan pula terdiri daripada ratu terjun negara yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio Brazil 2016, Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad (boling padang), ratu boling negara, Sin Li Jane dan pesilat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Bagi kategori Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan, antara yang dicalonkan adalah kuartet 4x 100 meter Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka yang beraksi di SUKMA Sarawak 2016, beregu badminton lelaki Tan Wee Kiong/ Goh Wei Shem dan pasukan boling padang lelaki kebangsaan.

Pencalonan bagi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan pula meliputi kuartet 4x100 meter negara, pasukan boling padang wanita kebangsaan, pasukan skuasy wanita kebangsaan, pasukan bola jaring kebangsaan dan gandingan terjun negara, Pandelela dan Cheong Jun Hoong.

Anugerah Jurulatih Lelaki pula menyaksikan jurulatih yang membantu atlet Paralimpik Negara di Sukan Paralimpik Rio 2016, iaitu iaitu Mohd Faizol Harun, Mohd Syahrul Amri Mohd Suhaimi dan R Jaganathan berada dalam senarai.

Tidak ketinggalan dicalonkan adalah jurulatih badminton negara, Jeremy Gan yang membantu pemain beregu negara memenangi pingat perak di Sukan Olimpik 2016.

Bagi Anugerah Jurulatih Wanita pula, turut dicalonkan adalah jurulatih boling, Wendy Chai De Choo, jurulatih badminton paralimpik negara, Woon Sze Mei dan jurulatih badminton negara, Chin Eei.

Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan menyaksikan tiga pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 disenaraikan iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly.

Siti Nor Radiah Ismail dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin pula dicalonkan untuk Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2016.

Majlis gilang gemilang itu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Majlis itu akan disiarkan secara langsung di RTM 1 bermula jam 9.00 hingga 10.00 malam.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2016 yang diadakan hari ini dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali memilih semua pemenang bagi kategori yang dipertandingkan.

Sebanyak 70 pencalonan diterima daripada Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negeri, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

218 dibaca
Berita Harian X