Ahad, 16 April 2017 | 11:50am

PAS 'tak lapar' RM90 juta


DATUK Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

BUKIT MERTAJAM: PAS menegaskan parti itu 'tidak lapar' dana RM90 juta yang kononnya didakwa diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, berkata PAS sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada hasil diperoleh daripada sumbangan ahli parti.

Katanya, PAS tidak pernah meminta dana daripada mana-mana bekas rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, mahu pun Barisan Nasional (BN) untuk membiayai kelangsungan parti itu.

"Kita (PAS) terlalu banyak mengalah dengan bekas rakan sekutu kita, termasuk serahkan kerusi di Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu.

"Kita korbankan begitu sahaja, tetapi sayang kita pula dikhianati dan dicemuh mereka.

"Tambahan, ada pula budak yang tak matang berpolitik, dia tuduh PAS terima RM90 juta daripada 1MDB. Ini saya nak tegaskan kepada dia, kita tak lapar RM90 juta itu, sebaliknya bergantung sepenuhnya pada harta anggota parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof; Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Omar Hassan dan Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim.

Berita Harian X