Jumaat, 14 April 2017 | 7:01pm

Jangan lagakan Zahid, Hishammuddin - Najib


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak berucap melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. JR Plus bakal berfungsi sebagai platform bersama jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri selain menyandang jawatan Menteri Pertahanan, adalah atas saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Perdana Menteri, sebelum pelantikan itu diumumkan beliau kelmarin, ia telah dibincangkan dengan timbalannya itu yang juga Menteri Dalam Negeri selama berbulan-bulan.

"Sebab itulah saya nak beritahu, jangan ada yang nak lagakan Datuk Hisham (Hishammuddin) dengan Datuk Zahid (Ahmad Zahid).

"Bila saya umum Datuk Hisham jadi Menteri Pertahanan dengan (Menteri) Tugas-tugas Khas, saya dah bincang dengan Datuk Zahid berbulan-bulan, malah Datuk Zahid yang cadangkan Datuk Hisham dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas," katanya ketika melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahmad Zahid, pimpinan tertinggi UMNO dan sayap serta pemimpin parti-parti komponen BN.

Pelantikan Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO itu diumumkan Najib dalam satu kenyataan media kelmarin.

Pelantikan itu akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Mengulas lanjut, Najib berkata kedua-dua pemimpin itu pada hakikatnya mempunyai hubungan yang amat baik.

"Tidak ada masalah, bila yang di atas ini padu, Wanita, Pemuda dan Puteri...kita juga ada konsensus dalam Barisan Nasional (BN). Pemukiman yang kita buat di Janda Baik baru-baru ini cukup berjaya, hidupkan semangat luar biasa. Kalau dulu buat program asing-asing, sekarang ni kita akan lebih banyak buat program atas semangat BN," katanya.

Najib berkata, barisan kepimpinan yang padu perlu dalam menjaga kekuatan parti dengan semua 'jeneral-jeneral' utama perlu berada dalam satu saf yang kukuh serta saling percaya mempercayai antara satu sama lain.

Jalinan Rakyat yang dilancarkan pada 7 Ogos 2009 bagi menggantikan Konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai dalam Pergerakan Wanita UMNO, adalah pendekatan lebih strategik bagi menjalin hubungan lebih rapat dan erat dengan rakyat.

JR Plus bakal menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri serta turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

45 dibaca
Berita Harian X