Jumaat, 7 April 2017 | 2:15pm

Kontrak penganjuran F1 ditamatkan - PM


KONTRAK penganjuran perlumbaan F1 ditamatkan bermula tahun depan. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kontrak penganjuran perlumbaan Formula One (F1) ditamatkan bermula tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran perlumbaan itu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan dan pandangan Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 kepada semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun.


PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. - Foto AFP

"Bagaimanapun, pulangannya semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing ketika perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu.

"Pada peringkat awal penganjuran F1 ini dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.

"Namun begitu, sudah sampai masanya kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada 1999," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial rasminya hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pada 1999 hanya 16 negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij itu termasuk dua negara Asia.

Bagaimanapun, katanya, ia kini meningkat kepada 21 termasuk enam negara Asia, sekali gus menyebabkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara.

Beliau berkata, penamatan penganjuran itu akan membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

Katanya, kerajaan juga akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, Kedah, menaik taraf kemudahan di SIC, di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

"Litar Sepang akan terus berperanan penting dalam usaha mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia," katanya.

Najib berkata, PETRONAS akan meneruskan penajaan ke atas pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

Katanya, kerajaan Malaysia mengakui sokongan yang diberikan oleh Formula One Management (FOM) sepanjang penganjuran perlumbaan itu di negara ini sejak 19 tahun yang lalu.

"Saya juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas persefahaman serta persetujuan FOM yang bersetuju perlumbaan F1 2017 di Sepang menjadi perlumbaan terakhir di litar berkenaan," katanya.

737 dibaca
Berita Harian X