Selasa, 28 March 2017 | 6:01am
LAMAN sesawang www.haqqi.com.my
LAMAN sesawang www.haqqi.com.my

FMBH'17 patuhi syariah


(DARI kiri) Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, Usahawan, dan Pelakon, Neelofa pada Fiesta Muslimah BH di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bazar jualan yang menghimpunkan vendor tempatan di bawah satu bumbung masih relevan walaupun membeli-belah dalam talian menjadi trend pada masa ini.

Konsep bazar jualan lebih menjurus kepada patuh syariah kerana ada akad jual beli, selain terus menjadi medium terbaik pembeli yang inginkan kelainan memilih jenama fesyen digemari.

Ketua Pegawai Eksekutif www.haqqi.com.my, Mohamad Azani Anwar, berkata justeru penganjuran Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) untuk tahun ketiga dianggap relevan dalam menyemarakkan jualan produk di negara ini mengikut syariah Islam.

Katanya, menerusi konsep 'Pasar Lokal' yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2 hingga 4 Jun ini, dijangka memberi lebih keuntungan kepada peniaga dan pelanggan menerusi lebih 100 bazar jualan.

"Saya melihat penganjuran FMBH sebagai medium terbaik kepada industri perniagaan produk tempatan berkembang.

"BH adalah jenama akhbar kukuh dan mempunyai kalangan pembaca yang besar. Memang begitu relevan BH mengadakan bazar yang menghimpunkan jenama Muslimah tempatan," katanya hari ini.


PROGRAM info dan tips dari usahawan muda dalam talian, (kanan) Nurul Huda (kraf Cufica) dan Norizalina (tudung bakawali) Fiesta Muslimah Berita Harian 2014 di Zebra Sguare. - Foto NSTP/Nashairi Mohd Nawi

Semarakkan industri fesyen

Mohamad Azani, berkata beliau tidak menafikan perniagaan dalam talian dan bazar mempunyai kelebihan dan kekurangan masing -masing tetapi trend pembelian pengguna sememangnya lebih kepada bentuk fizikal, iaitu pelanggan lebih gemar melihat produk di hadapan mata sebagai satu kepuasan membeli.

Ini kerana pengguna tidak perlu melalui situasi memulangkan kembali produk dibeli hanya kerana tidak muat saiz dan kualiti fabrik kerana boleh terus mencuba produk selain kurang berisiko ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya percaya penganjuran bazar FMBH'17 dapat menyemarakkan industri ini dan vendor patut merebut peluang besar ini kerana skala pembaca BH yang besar, tentunya bazar ini menarik kehadiran ramai pengunjung untuk membeli-belah," katanya.


COSRY turut mengadakan pertunjukan fesyen koleksi terbaharu pakaian kasual dan sedia dipakai untuk tatapan pengunjung sempena Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) akan datang. - Foto NSTP

Berpeluang rasa produk sendiri

Selebriti terkenal, Nora Danish yang mempunyai jenama fesyennya, Owl By Nora Danish, berkata beliau melihat penganjuran bazar jualan masih relevan dan 'memancing' perhatian peminat fesyen tempatan.

"Jenama saya bermula dengan jualan dalam talian. Selepas itu, saya buka butik di Bandar Baru Bangi supaya peminat jenama ini boleh datang dan mencuba sendiri koleksi ini," katanya.

"Pengalaman sama dapat dirasai ketika pelanggan berkunjung ke mana-mana bazar. Mereka dapat sentuh kain, pilih saiz tepat dan pada masa sama, berpeluang mendapat harga lebih rendah," katanya.

Sebagai selebriti dan usahawan, beliau tidak akan melepaskan peluang menyertai pasaran bazar jika diberi peluang.

"Peniaga boleh memasarkan produk dengan lebih kreatif seperti memberi tawaran harga runtuh atau hadiah percuma menerusi pembelian yang banyak. Ini cara untuk melariskan produk supaya stok sentiasa keluar.

"Saya melihat penganjuran FMBH sebagai satu idea positif yang mana ia hub mengumpulkan peniaga Muslimah di bawah satu bumbung," katanya.

Info: FMBH'17

  • Konsep pasar lokal

  • Menggabungkan pelbagai fesyen tempatan

  • Sasaran lebih 30,000 pengunjung

  • 130 gerai jualan

  • FMBH'14 kali pertama di Zebra Square 2014

  • FMBBH15 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE.
179 dibaca
Berita Harian X