Isnin, 27 March 2017 | 5:10pm

Raja Afiq pertahan tindakan tinggalkan set


PELAKON baharu, Raja Afiq. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Raja Afiq, 22, mempertahankan tindakannya yang dikatakan meninggalkan set penggambaran sebuah drama pendek, Ahad lalu.

Menurut Raja Afiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, beliau mempunyai alasan kukuh untuk berbuat begitu.

Bercakap kepada BH Online, bakat yang dicungkil daripada program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 itu berkata, beliau hanya dimaklumkan oleh pihak pengurusan untuk memberikan komitmen pada satu babak saja bagi drama terbabit, iaitu sebagai posmen.

Justeru, pelakon yang dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz ini hairan apabila petugas produksi meminta beliau bersiap sedia untuk babak seterusnya.

"Saya datang pada jam 12 tengah hari kerana perlu bersedia untuk penggambaran terbabit, yang diadakan di Taman Melati. Namun, hanya sekitar 6.30 petang barulah babak membabitkan saya dilakukan.

"Dalam soal masa, bagi saya ia bukanlah isu besar kerana sebagai pelakon, memang menunggu itu sudah menjadi perkara biasa buat kami. Faktor cuaca dan pengulangan babak yang terlebih dulu dirakam ada masanya membuatkan jadual berubah.

"Tiba waktunya, babak saya sebagai posmen dilakukan. Selesai tugasan itu, saya didatangi seorang lelaki, barangkali daripada pihak produksi, yang meminta saya untuk melakukan babak seterusnya. Dengan baik saya bertanya kepadanya mengenai hal itu, termasuk memaklumkan diri saya terikat dengan komitmen satu babak saja," ujarnya.

Raja Afiq bagaimanapun memberitahu, beliau kesal dengan cara lelaki terbabit menjawab pertanyaan itu.

"Cara dia menjawab cukup kasar. Saya jadi pelik, kenapa saya dilayan seperti itu sedangkan dari awal lagi hanya satu babak perlu saya jayakan. Dilayan sebegitu rupa, saya memilih untuk meninggalkan lokasi selepas tanggungjawab dipenuhi," kata Raja Afiq.

Tindakannya yang beredar dari lokasi penggambaran nyata pantas tersebar, namun Raja Afiq percaya, apa yang disebarkan itu sudah ditokok tambah.

"Mereka (yang menyebarkan cerita berkenaan) tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

449 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »