Isnin, 20 March 2017 | 1:54pm

Banjir kilat di 3 daerah NS

SEREMBAN: Hujan lebat sejak kira-kira jam 6 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini, Kuala Pilah dan Rembau, dilanda banjir kilat.

Setakat ini, paras Sungai Pedas Rembau mencatat bacaan 12.64 meter, melebihi paras bahaya 12 meter.

Di Kuala Pilah, Ketua Balai Bomba Kuala Pilah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jefri Amat, berkata hanya Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran kawasan sawah Ulu Bendul dinaiki air tetapi boleh dilalui kenderaan.

Di Kampung Batu, Inas, katanya, dua wanita berumur 50-an dan 80-an, dipindahkan ke rumah jiran apabila rumah didiami dinaiki air.

Katanya, banjir kilat turut melanda Kampung Alai dan Kampung Bukit tetapi tiada mangsa yang dipindahkan manakala paras air dilapor semakin surut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kolonel Kamal Mokhtar, berkata antara jalan dilanda banjir kilat di Rembau ialah Jalan Pedas-Rembau, Jalan Kampung Relung-Batu Hampar, Jalan Kg Pilin-Durian Daun dan Jalan Kampung Gaing.

Di Seremban, katanya, antara kawasan terbabit ialah Jalan Pantai dan Paroi.

Sementara itu, Pengarah Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, Nor Halim Aludin, menafikan viral dalam media sosial bahawa Empangan Pedas dan Ulu Sepri di Rembau, pecah akibat hujan lebat.

Katanya, paras air kedua-dua empangan itu mencecah paras maksimum iaitu 135 meter, menyebabkan air berlebihan dilepaskan dari Empangan Ulu Sepri ke Sungai Rembau dan Empangan Pedas ke Sungai Pedas.

"Kawasan berhampiran yang dilanda banjir kilat menyebabkan sesetengah pihak menyangka empangan itu pecah tetapi hakikatnya kewujudan empangan itu menghalang banjir lebih teruk berlaku," katanya.

425 dibaca
KAWASAN sawah di Ulu Bendul, Kuala Pilah, yang dilanda bajir kilat. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memeriksa keadaan banjir di Kampung Bukit, Seri Menanti, Kuala Pilah.
KEADAAN air yang melimpah di Empangan Pedas, Rembau.
Berita Harian X