Ahad, 19 March 2017 | 6:28pm

Edra bakal bina kilang solar terbesar di Kedah

KUALA LUMPUR: Pengeluar tenaga bebas, Edra Power Holdings Sdn Bhd, kini di landasan untuk membina loji fotovolta solar terbesar pertamanya dengan kapasiti 50MWAC di Kedah, menjelang awal 2018.

Projek Solar Kedah yang bakal memberi pelbagai limpahan ekonomi kepada negeri itu akan dilaksanakan Edra Solar Sdn Bhd, anak syarikat Edra.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Power, Datuk Mark Ling berkata, loji tenaga solar di Kedah dijangka menghasilkan 80,000 Mwh kuasa setahun dan akan dibangunkan di tanah seluas 105.21 hektar di Bandar Kuala Ketil, Baling.

Pembangunan loji solar itu akan menukar tanah pertanian di Kuala Ketil sebagai kawasan perindustrian, sekali gus mewujudkan kesan positif yang ketara untuk pertumbuhan ekonomi Kedah, katanya di sini, hari ini.

Projek Solar Kedah bakal menjadi loji fotovolta tenaga solar pelbagai utiliti dengan kapasiti agregat sehingga 500 megawatt untuk dibangunkan oleh Edra, tertakluk kebenaran bersyarat yang diberikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Edra Solar menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah pada Ogos 2015 untuk mendapatkan tanah berkenaan daripada BDB Land Sdn Bhd (BDB Land), yang mana adalah anak syarikat Bina Darulaman Bhd (BDB).

Sebagai pengeluar tenaga di Malaysia , Ling berkata, Edra komited untuk membangunkan sektor tenaga tempatan, termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, Edra akan terus memaksimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan menghasilkan peluang kerja mahir untuk rakyat Malaysia menerusi Projek Solar Kedah semasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan projek, merangkumi sebahagian besar kumpulan jurutera, operasi dan pengurusan daripada rakyat tempatan.

Katanya, memandangkan kepentingan sumbangan projek tersebut kepada Kedah, kerajaan negeri telah memberikan sokongan padu dan kerjasama ke arah kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Edra Power berkata, pihak agensi dan penguat kuasa berkenaan di negeri itu sudah memberikan kelulusan yang diperlukan bagi membolehkan Edra Solar memulakan projek berkenaan.

Syarat prajadi yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli tanah sudah dipenuhi dan Edra Solar sudah diberikan pemilikan kosong oleh BDB Land bagi membolehkan syarikat memulakan kerja tapak, kata Edra Power.

Edra Solar juga telah memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Baling bagi memulakan kerja-kerja tapak, menurut syarikat itu.

Tenaga solar hijau berupaya mengurangkan 36,000 tan pengeluaran karbon setahun, sekali gus menyokong inisiatif kerajaan dalam mengurangkan kesan gas rumah hijau.

Edra berharap dapat meneroka lagi peluang bekerjasama dengan BDB dan negeri Kedah dalam mengenal pasti kawasan berpotensi daripada simpanan semasa dan masa depan, untuk pembangunan ladang solar baharu di Kedah yang dapat membantu menyumbang kepada Program Hijau Kerajaan.

Edra adalah antara pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara, menguasai pelbagai portfolio aset jana kuasa tenaga berkualiti merangkumi pelbagai jenis teknologi.

Kumpulan itu mempunyai portfolio 13 loji tenaga dan penyahgaraman di Malaysia, Mesir, Bangladesh, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu, dengan jumlah kapasiti bersih sebanyak 5,529 megawatt dan kapasiti penyahgaraman sebanyak 16 MIGD.

Edra adalah pengeluar tenaga bebas kedua besar di Malaysia dan Bangladesh, serta kumpulan pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Mesir.

Ia adalah anak syarikat milik penuh China General Nuclear Power Corporation (CGN), syarikat tenaga nuklear terkemuka di dunia dengan pelaburan dalam lebih 25 GW projek tenaga hijau dan boleh diperbaharui, termasuk angin, solar, hidro, gas, projek arang dan sel bahan bakar yang efisien di China, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, Perancis dan Australia. - BERNAMA

179 dibaca
Berita Harian X