Jumaat, 17 March 2017 | 9:46am

Tenis: Mladenovic tundukkan Wozniacki


KRISTINA Mladenovic melangkah ke pentas separuh akhir Indian Wells selepas menumpaskan bekas pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki 3-6, 7-6 (7/4), 6-2 pagi tadi. - Foto AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain Perancis, Kristina Mladenovic melangkah ke pentas separuh akhir Indian Wells selepas menumpaskan bekas pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki 3-6, 7-6 (7/4), 6-2 pagi tadi.

Pemain ranking ke-26 dunia itu, meneruskan permulaan cemerlang di awal musim termasuk memenangi gelaran pertama di St Petersburg, Januari lalu dan naib juara Acapulco, bulan ini.

Susulan kejayaan berkenaan, Mladenovic bakal memecah kelompok 20 terbaik dunia buat kali pertama.

Begitupun dalam usaha ke final, dia terlebih dulu perlu menempuh ujian sama ada daripada pemenang tujuh gelaran Grand Slam Venus Williams atau pemain Russia Elena Vesnina di separuh akhir.

"Saya amat kecewa dengan cara saya memulakan perlawanan," kata Mladenovic, yang mara buat kali pertama ke pentas separuh akhir kejohanan utama dalam kalendar Jelajah WTA.

Katanya dia banyak melakukan kesilapan pukulan yang mana sepatutnya tidak boleh dilakukan ketika berdepan pemain utama seperti Caroline.

"Saya terpaksa menyesuaikan diri dengan permukaan besar gelanggang ini. Rasanya sangat berbeza untuk beraksi di sini selepas banyak menghabiskan masa di gelanggang kecil," katanya.

Mladenovic dua kali mematikan pukulan servis Wozniacki di set ketiga bagi mengesahkan kemenangan dalam tempoh dua jam 33 minit. - AFP

99 dibaca
Berita Harian X