Rabu, 15 March 2017 | 12:08am

Krunchy kapit Norbaiti laku 1,000 bekas sebulan

KUANTAN: Status ibu tunggal bukan untuk menagih simpati orang ramai tetapi menjadi pembakar semangat kepada Norbaiti Alias keluar daripada belenggu kemiskinan dan menjamin kehidupan selesa untuk tujuh anaknya.

Wanita berusia 51 tahun ini cekal menghadapi dugaan selepas kematian suaminya akibat sakit tua sejak sembilan tahun lalu pada tahun 2008 dengan berniaga kuih kapit sebagai sumber pendapatan utama.

Beliau mula menjual kuih tradisional daripada campuran tepung gandum, tepung beras, telur dan santan kelapa itu daripada rumah ke rumah sebelum serius mempelbagaikan kuih kapit menerusi bantuan tujuh anaknya yang berusia antara 15 hingga 35 tahun.

Kini, empat anaknya meneruskan usaha berkenaan termasuk menguruskan bahagian pemasaran, promosi selain menambah rasa dan bentuk kuih itu sehingga terhasilnya produk krunchy kapit.

"Krunchy Kapit hasil cetusan idea seorang anak saya untuk memberi kelainan kepada rasa kuih kapit asli. Bahan aduan masih dikekalkan seperti asal namun dibakar menggunakan acuan elektrik.

"Bentuk diubah ke bentuk kon sebelum ditabur kacang dan sapuan coklat. Saya mula-mula bagi pelanggan dan kawan mencuba rasa kuih kapit berintikan coklat dan kacang ini untuk mendapatkan maklum balas.

"Alhamdulillah, rata-rata menyukai kerana kacang juga antara makanan ringkas yang sedap dan menjadi enak apabila ditambah pemanis coklat," katanya ketika ditemui BH Plus di rumahnya di Kampung Kempadang di sini.


NORBAITI (tengah) bersama dua anaknya menunjukkan produk kuih kapit keluaran mereka. - Foto Shahrinnahar Latib

NORBAITI sedang menyiapkan tepung untuk membuat kuih kapit di rumahnya di Kampung Kempadang. - Foto Shahrinnahar Latib

Katanya, sejak 2008 berada di pasaran, kuih kapit tradisional dan krunchy kapit itu mendapat sambutan dengan lebih 1,000 bekas sebulan terjual dan mampu memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

"Kuih kapit berwarna dan berperisa turut dihasilkan terutama bagi memenuhi tempahan majlis perkahwinan serta hari jadi. Kita juga mendapat bantuan MARA bagi menghasilkan pelekat pembungkusan dan penjenamaan," katanya.

Pada peringkat permulaan perniagaan, beliau membuat pinjaman Amanah Iktihar sebanyak RM13,000 serta menerima bantuan barangan dari Jabatan Pertanian dan RISDA.

"Saya kini dalam perancangan untuk membina bengkel yang berasingan memandang bengkel sedia ada sekarang sempit kerana ia dibuat di sebelah rumah.

"Terbaharu produk ini berjaya dipasarkan di Pasar Raya Darul Makmur dan Agro Bazar selain di kedai runcit sekitar bandar ini selain turut menerima tempahan atas talian. Anak saya juga membuka akaun facebook Norbaiti Food Industries untuk memasarkan produk ke seluruh negara melalui penghantaran pos," katanya.


NORBAITI meletakkan telur sebelum memasukkan tepung ke dalam acuan kuih kapit supaya ia tidak melekat. - Foto Shahrinnahar Latib

KUIH kapit lipat yang sudah siap dan diletakkan di dalam bekas sebelum dijual kepada pelanggan. - Foto Shahrinnahar Latib

INFO

  • Kuih kapit atau turut dikenali sebagai kuih sepit.
  • Menggunakan 140 kilogram tepung beras setiap bulan.
  • Dijual dengan harga antara RM8 hingga RM13 mengikut berat.
1801 dibaca
DUA produk yang dihasilkan oleh Norbaiti Food Industries iaitu krunchy kapit dan kapit lipat. - Foto Shahrinnahar Latib
KUIH kapit yang siap dimasak. - Foto Shahrinnahar Latib
Berita Harian X