Isnin, 13 March 2017 | 10:08am

Trump cuba hubungi sebelum pecat Bharara


DONALD Trump cuba menghubungi pendakwa raya berprofil tinggi, Preet Bharara dua hari sebelum dipecat, dalam apa yang disifatkan seorang pegawai Rumah Putih sebagai usaha untuk mengucapkan "terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya." - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump cuba menghubungi pendakwa raya berprofil tinggi, Preet Bharara dua hari sebelum dipecat, dalam apa yang disifatkan seorang pegawai Rumah Putih sebagai usaha untuk mengucapkan "terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya dan semoga maju berjaya."

Tetapi seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang AS berkata, Bharara enggan menerima panggilan pada Khamis lalu itu dan berkata beliau tidak mahu bercakap dengan presiden tanpa kelulusan pihak atasan.

Bharara berkata, beliau dipecat pada Sabtu selepas mencabar permintaan untuk meletak jawatan. Langkah itu amat mengejutkan kerana Bharara memberitahu pemberita pada November lalu bahawa Trump meminta beliau untuk terus bertugas.

Sebagai ketua pendakwa persekutuan bagi Daerah Selatan New York, termasuk Manhattan, Bharara menyelia beberapa kes rasuah yang ketara dan kes jenayah kolar putih, selain pendakwaan suspek keganasan.

Beliau adalah seorang daripada 46 kakitangan pentadbiran Obama yang diminta untuk meletakkan jawatan oleh Jabatan Keadilan pada Jumaat lalu.

Walaupun peguam AS adalah lantikan politik dan permintaan daripada Jabatan Kehakiman Trump adalah sebahagian daripada proses rutin, langkah itu dianggap mengejutkan.

Setiap pentadbiran baru tidak menggantikan semua peguam AS sekali gus. Rumah Putih enggan mengulas lanjut mengenai isu peletakan jawatan itu. - Reuters

394 dibaca
Berita Harian X