Isnin, 13 March 2017 | 9:53am

PM Belanda enggan minta maaf halang menteri Turki


PERDANA Menteri Belanda, Mark Rutte. - Foto EPA

THE HAGUE: Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata beliau tidak akan meminta maaf berikutan tindakannya melarang menteri dari Turki menyertai perhimpunan pro-Ankara di sini, tetapi berharap pertikaian diplomatik dapat ditamatkan.

"Tiada alasan yang boleh dibuat, bagaimanapun mereka (Ankara) sepatutnya meminta maaf di atas tindakan kelmarin" katanya kepada pemberita, semalam ketika berkempen untuk pilihan raya umum pada Rabu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menyamakan tindakan Belanda menghalang lawatan menteri luarnya, Mevlut Cavusoglu ke Rotterdam dengan tindakan Nazi, ketika ketegangan memuncak susulan perhimpunan di luar negara bagi membantu Erdogan meraih sokongan menjelang pungutan suara April ini.

"Negara ini, seperti Datuk Bandar Rotterdam tegaskan semalam, dibom ketika Perang Dunia Kedua oleh Nazi. Kenyataan Erdogan itu sama sekali tidak boleh diterima," kata Rutte.

Selain itu katanya, tindakan Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya yang tidak mengendahkan beberapa larangan agar tidak melakukan perjalanan dari Dusseldorf, Jerman ke bandar ini sudah mencetuskan 'kekacauan.'

"Demi kepentingan hubungan kita dalam Kesatuan Eropah dengan Turki, rakyat Belanda perlu bertenang dan amat penting kedua pihak berusaha meredakan suasana, bukan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Belanda menempatkan kira-kira 400,000 penduduk berasal dari Turki dan Ankara dilihat mahu memanfaatkan undi diaspora di Eropah menjelang pungutan suara 16 April ini. - AFP

406 dibaca
Berita Harian X