Isnin, 13 March 2017 | 12:11am

Ikan karnivor banyak di kedai akuarium

 

KUALA LUMPUR: Larangan penjualan beberapa spesies ikan hiasan yang ditakrif berbahaya kepada ekosistem hidupan tidak dihiraukan oleh sebilangan besar pengusaha ikan akuarium di negara ini.

Tinjauan BH di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang mendapati, beberapa spesies ikan khususnya flower horn dan aligator gar dikesan dipamerkan di kedai akuarium untuk dijual pada harga antara RM30 hingga RM40 bagi saiz kecil dan mencecah ratusan ringgit bagi saiz besar.

Ia menunjukkan ikan hiasan spesies berbahaya serta bersifat karnivor ini mendapat permintaan tinggi daripada peminat ikan hiasan eksotik sehingga mendorong pengusaha terus menjualnya walaupun terpaksa menyeludup ia masuk.

Mereka dikatakan mendapatkan bekalan itu daripada negara jiran dan dibawa masuk bersama spesies lain yang dibenarkan oleh kerajaan.

Seorang jurujual ketika ditanya perkara itu mengakui, aligator gar dibawa masuk dari Thailand disebabkan permintaan tinggi kebelakangan ini.

"Ramai juga membeli ikan ini dan kadang-kadang kami terpaksa menambah stok kerana bekalan yang diterima tidak banyak," katanya.


ANAK ikan aligator gar dalam sebuah kedai akuarium di Shah Alam.


IKAN flower horn yang ditemui dalam sebuah kedai akuarium di Shah Alam

Tinjauan BH di kedai ikan hiasan di Subang Jaya, Selangor, mendapati ikan jenis aligator Gar bersaiz dewasa dijual sekitar RM200 seekor.

Penjual warga Indonesia di kedai itu berkata, ikan berkenaan dibeli daripada seorang peminat ikan yang tidak lagi mahu memeliharanya kerana ia terlalu cepat membesar.

"Walaupun dibeli dengan saiz beberapa sentimeter sahaja, ikan ini cepat membesar sehingga akuarium biasa terpaksa ditukar kepada saiz lebih besar dan itu menyebabkan ramai membuangnya ke dalam sungai atau tasik.

"Mereka yang membeli merasakan ikan ini eksotik kerana tidak ubah seperti memelihara buaya tetapi bertukar fikiran selepas ikan ini membesar dengan cepat. Namun disebabkan ada permintaan, kami tetap menjual," katanya.

 


IKAN aligator gar bersaiz besar yang ditemui dalam sebuah kedai akuarium di Subang Jaya.


SPESIES Ikan Larangan Import ke Malaysia.

INFO

  • Akta Perikanan 1985 menerusi Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Bagi Ikan) Pindaan 2011 menyebut tiada sesiapa boleh mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan genus ikan hidup sebagaimana diperuntukkan.
  • Terdapat 16 genus ikan yang dilarang iaitu serrasalmus (serrasalmo/pygocentrus/catoprian), pygopristis, Colosomma/Piaractus, Mylossoma, Mylopus/myleus, pristobrycon, myletes, salmo (salmon), onchorynchus (trout), cichla (peacock bass), esoc (nothern pike), cichlasoma (flower horn), acipenser (sturgeon), arapaima (dragon fish), lepisosteus (aligator gar) dan cheraz destructor (red claw).
  • Spesies cichla (peacock bass), cichlasoma (flower horn) arapaima (dragon fish) dan lepisosteus (aligator gar) pula biasanya diimport untuk dijadikan ikan hiasan akuarium.
2174 dibaca
SEKUMPULAN individu dilihat melepaskan ikan ke dalam Sungai Muar
IKAN flower horn bersaiz besar yang ditemui dalam sebuah kedai akuarium di Subang
IKAN aligator gar bersaiz besar yang ditemui dalam sebuah kedai akuarium di Subang Jaya.
Berita Harian X