Ahad, 12 March 2017 | 12:13am

Keli Afrika ancaman ekosistem sungai tempatan

SEGAMAT: Spesies ikan keli Afrika menjadi antara komoditi makanan di negara ini namun perbuatan sesetengah pihak yang sengaja membeli hidupan itu untuk dibuang ke dalam sungai dikesan amat mengancam ekosistem perairan tempatan dan ekonomi nelayan darat ketika ini.

Lebih memburukkan keadaan, perbuatan itu sukar dibendung kerana undang-undang yang ada ketika ini hanya menghukum mereka yang membeli 16 genus ikan tertentu.

Ikan keli Afrika pula tidak termasuk dalam senarai 16 genus ikan itu walaupun pelepasannya ke dalam sungai di negara ini dilihat memberi kesan sama buruk kepada ekosistem dan habitat hidupan air tempatan.

Antara lokasi yang terjejas teruk akibat perbuatan itu ialah Sungai Muar yang mengalir dari Negeri Sembilan hingga ke Johor serta Sungai Perai di Pulau Pinang, yang mana hidupan air tempatan di situ didakwa semakin hilang sehingga menjejaskan ekonomi nelayan setempat.

Sumber berkata, perbuatan membuang ikan keli Afrika ke sungai itu lazimnya dilakukan oleh orang ramai yang bernazar atau membayar hajat tetapi mereka tidak boleh dikenakan tindakan kerana tiada klausa khusus menyebut perkara itu dalam mana-mana undang-undang negeri.

Katanya, ikan keli Afrika pula adalah jenis ikan yang diternak untuk tujuan komersial dan tidak tertakluk dalam senarai 16 genus yang dilarang untuk diimport mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan 1990 dan pindaan ke atas peraturan sama pada 2011.


MOHD Abdul Aziz Isnin mengangkat jaring di dalam Sungai Muar yang kekurangan ikan akibat pelepasan ikan keli ternakan yang tidak terkawal di Jeti Nelayan Kampung Tekam. - Foto Adi Safri

"Hanya perintah larangan dikeluarkan terhadap perbuatan itu tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang kecuali genus yang tersenarai dalam peraturan khusus itu. Biasanya, apabila pihak berkuasa menerima aduan, mereka hanya boleh memberi nasihat supaya tidak berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, perbuatan itu boleh diatasi jika kerajaan negeri meminda pindaan undang-undang negeri bagi memasukkan larangan berkenaan supaya penguatkuasaan boleh dibuat dengan lebih berkesan.

Dalam perkembangan sama, BH difahamkan, keli Afrika digunakan untuk tujuan bernazar berikutan harga ikan itu yang murah iaitu kira-kira RM4 sekilogram sahaja jika dibeli daripada penternak sangkar tempatan.

BH turut difahamkan, aktiviti pelepasan benih ikan tempatan ke dalam sungai yang dilaksanakan Jabatan Perikanan bagi membantu ekonomi nelayan darat akan sia-sia jika spesies ikan asing seperti keli Afrika mengambil alih ekosistem.

Sumber berkata, keadaan yang berlaku itu selari dengan hasil inventori terbaru Jabatan Perikanan di Sungai Muar yang mendapati, ikan tempatan semakin berkurangan di Sungai Muar dan punca utama ia berlaku boleh dikaitkan dengan kegiatan pembuangan ikan keli Afrika.

Sumber mendedahkan, pihaknya pernah mendapat maklumat ada individu tertentu membuang hampir dua tan ikan keli Afrika, pada satu-satu masa.

"Bagi orang biasa, biasanya mereka akan membawa berkilogram anak ikan keli Afrika yang dibungkus dalam plastik untuk dilepaskan tetapi bagi yang berkemampuan, mereka akan masuk menggunakan lori dan melepaskan ribuan ikan keli Afrika pelbagai saiz," katanya.

Beberapa jenis ikan tempatan di negara ini tidak lagi ditemui kerana sudah pupus akibat beberapa faktor termasuk kehadiran ikan asing ke dalam sungai dan tasik. Ikan tempatan daripada keluarga cyprinidae iaitu hangus ekor dan jelawat batu serta ikan keli sirip lembut adalah antara yang dikesan pupus di Malaysia.


SEGAMAT 28 FEBRUARY 2017. (BH PLUS) Nelayan, Mohd Abdul Aziz Isnin menunjukkan kawasan pelepasan ikan keli ternakan yang tidak terkawal di Jeti Nelayan Kampung Tekam. NSTP/ADI SAFRIADI SAFRI

SEGAMAT 28 FEBRUARY 2017. (BH PLUS) Nelayan, Salleh Mohd Rosli. NSTP/ADI SAFRIADI SAFRI

Sementara beberapa spesies ikan tempatan lain sudah disenaraikan dalam pelbagai kategori di bawah IUCN RedList termasuk keli hutan (Clarias meladerma), sepat mutiara (Trichogaster leerii), ikan kelisa (Scleropages formosus), temoleh dan ikan daripada beberapa genus betta seperti sepilai merah.

Penyelidik bidang Bioinvasion (Pencerobohan Biologi), Profesor Madya Dr Khairul Adha A Rahim, berkata spesies ikan gourami yang terdapat di Selangor dan loach batu di Pulau Tioman pula adalah spesies ikan yang endemik di Malaysia dan tersenarai di IUCN Red List spesies.

Profesor Jabatan Sains Akuatik, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak itu berkata,  berdasarkan rekod dan hasil kajian lapangan yang pernah dikendalikannya mendapati sekurang-kurangnya 42 spesies ikan asing termasuk ikan keli Afrika sudah diseludup masuk ke perairan negara dan sebahagiannya adalah daripada jenis yang membahayakan ekosistem dan habitat tempatan.

Katanya, kadar kemasukan spesies ikan asing di negara ini juga meningkat dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya dan kajian itu mendapati, sebanyak 64.3 peratus ikan asing dibawa masuk ke Malaysia untuk aktiviti akuakultur, industri akuarium (19 peratus), perikanan rekreasi (14.3 peratus) dan 2.45 peratus untuk kawalan biologi.

"Kajian yang saya jalankan sejak tahun 2003 menunjukkan spesies ikan asing sudah mendiami pelbagai habitat seperti sungai, sawah padi, paya, saliran, empangan, tasik bekas lombong dan muara sungai di Malaysia," katanya.

Mengenai kehadiran ikan keli Afrika, Khairul berkata, ia adalah spesies yang diternak secara meluas sejak tahun 80-an.

"Ikan keli Afrika adalah sejenis ikan omnivor yang mempunyai diet pemakanan yang meluas. Ia berupaya memakan pelbagai jenis organisme akuatik dalam sungai seperti anak ikan, anak udang atau ikan kecil tempatan.

"Ikan ini juga bersifat tahan lasak iaitu mampu hidup dalam apa sahaja keadaan di mana tidak sesuai didiami oleh ikan tempatan. Jika ia dilepaskan dengan jumlah yang banyak dan tanpa kawalan di dalam habitat semula jadi, ia akan mendominasi kerana corak pemakanannya yang luas," katanya.

Beliau berkata, sesetengah ikan asing yang bersifat pemangsa seperti ikan keli serta ikan raja tidak sesuai berada di perairan negara kerana dilihat mewujudkan persaingan dengan ikan tempatan terhadap sumber makanan yang sama, persaingan habitat dan ikan tempatan bakal menjadi mangsa makanan.

Sementara itu, lebih 15 tahun lalu, nelayan di Kampung Kuala Sungai Chodang, Sungai Muar, mampu meraih antara RM500 hingga RM600 sehari hasil tangkapan ikan sungai.

Bagaimanapun, hari ini mereka hanya mampu memperoleh tak sampai RM20. Itupun jika ikan terperangkap di jaring. Ada waktunya mereka sekadar pulang hampa walaupun sudah turun ke sungai sejak awal Subuh untuk memasang pukat.

Nelayan, Salim Mohd Rosli, 46, berkata sejak kebelakangan ini keadaan lebih buruk sehingga menyebabkan dia terpaksa memikirkan semula cara untuk mendapatkan sumber pendapatannya.

Katanya, menjadi nelayan di Sungai Muar pada hari ini amat tidak berbaloi kerana ikan tempatan yang berharga tinggi jarang sekali mampu dinaikkan ke darat.


SEGAMAT 28 FEBRUARY 2017. (BH PLUS) Nelayan, Mohd Abdul Aziz Isnin menceritakan keadaan Sungai Muar yang kekurangan ikan akibat pelepasan ikan keli ternakan yang tidak terkawal di Jeti Nelayan Kampung Tekam. NSTP/ADI SAFRIADI SAFRI

"Sejak akhir-akhir ini, kami terasa amat susah untuk memperoleh tangkapan. Jika ada pun, kami hanya mampu meraih kurang tiga kilogram selepas penat memasang pukat," katanya yang terpaksa mengambil upah menoreh kerana pendapatan yang sukar sebagai nelayan.

Salim berkata, ikan keli Afrika di sungai itu memang banyak tetapi tidak laku untuk dijual.

"Ikan keli ini cepat membesar dan apabila saiz yang besar ditangkap, ia tidak laku dan lebih memburukkan keadaan, ikan itu mati terlalu cepat selepas dinaikkan. Jika mati, kami seolah-olah beri percuma kepada sesiapa sahaja kerana ia langsung tidak laku," katanya.

Seorang lagi nelayan, Mohammad Abdul Aziz Isnin, 60, berkata dia percaya antara punca utama kekurangan spesies ikan tempatan di Sungai Muar adalah kehadiran ikan keli Afrika yang sengaja dilepaskan ke perairan itu.

"Jarang sekali saya mampu menaikkan ikan tempatan bersaiz besar seperti jelawat, kelisa, tenggalang atau belida. Udang pun semakin berkurangan di sungai ini dan jika adapun hanya baung dan lais. Itupun payah untuk diperoleh," katanya.

Mohammad Abdul Aziz berkata, dia beberapa kali melihat kumpulan individu membuang ikan keli ke dalam sungai itu dan tidak menghiraukan teguran penduduk.

928 dibaca
SEGAMAT 28 FEBRUARY 2017. (BH PLUS) Penduduk Kampung Tekam, Saniah Mujir. NSTP/ADI SAFRIADI SAFRI
Berita Harian X