Khamis, 9 March 2017 | 10:43pm

Duterte rayu bantuan datuk bandar selatan Filipina


PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte hari ini merayu datuk bandar di selatan Filipina membantu menangani militan Islam dan mengugut menguatkuasakan undang-undang tentera jika ia gagal diatasi.

Negara majoriti penganut Roman Katolik itu sekian lama bergelut menamatkan keganasan dua kumpulan kecil dikaitkan Daesh membabitkan jenayah kejam termasuk penculikan, lanun, pengeboman dan yang terbaru memenggal seorang tebusan Jerman.

"Saya merayu kepada anda kerana saya tidak mahu masalah di pulau selatan Mindanao semakin tidak dapat dikawal.

"Bantu saya. Jika tidak, undang-undang tentera terpaksa dilaksanakan, kemudian saya perlu mengarahkan tentera untuk menangkap mereka, menahan anda," kata Duterte ditujukan kepada datuk bandar selatan Filipina dalam ucapannya di Davao.

Filipina sedang berjuang menentang militan Abu Sayyaf di dua pulau terpencil di selatan negara itu.

Kerajaan berusaha mendapatkan sokongan daripada kumpulan pemisah lain yang mahu berdamai dengan kerajaan dalam usaha menghapuskan agenda militan.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana berkata, Filipina bersama Indonesia dan Malaysia akan membuat rondaan di laut selatan bermula April, sekali gus mewujudkan laluan laut bagi kapal dagang yang sering dipintas Abu Sayyaf. -Reuters

313 dibaca
Berita Harian X