;
Khamis, 9 March 2017 | 10:04am

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan selera pelabur bertukar kepada dolar seiring peningkatan pulangan bon perbendaharaan AS.

Pada 9.07 pagi, ringgit disebut harga pada 4.4560/4600 berbanding dolar AS daripada 4.4520/4570 pada 6 petang semalam.

Seorang peniaga berkata, pulangan bon perbendaharaan AS yang lebih tinggi berkemungkinan mencetuskan jualan bon kerajaan Malaysia berikutan julat pulangan kedua-dua bon 10 tahun berkenaan semakin mengecil kepada 1.62 mata peratusan, terendah dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1416/1448 daripada 3.1490/1529 pada Rabu dan naik kepada 3.8900/8952 daripada 3.9039/9093 berbanding yen.

Ringgit juga mengukuh berbanding euro kepada 4.6957/7017 daripada 4.6991/7048 tetapi turun berbanding pound British pada 5.4198/4274 daripada 5.4145/4219 semalam. - BERNAMA

62 dibaca
Berita Harian X