Selasa, 7 March 2017 | 10:29pm

HSS Engineers peroleh kontrak RM5.39 juta di Kedah

KUALA LUMPUR: HSS Engineers Bhd menerusi syarikat sekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd, memperoleh kontrak perundingan kejuruteraan bernilai RM5.39 juta bagi projek menaik taraf loji rawatan air Lubuk Buntar Lama, Kedah.

HSS Integrated menerima surat pelantikan bagi kontrak perundingan untuk menyediakan perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan dan penyeliaan pembinaan daripada Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Kontrak itu adalah bagi tempoh 51 bulan.

Mengikut perjanjian kerjasama eksklusif antara HSS Integrated dan anak syarikat milik penuh HSS Engineering, HSS Engineering Sdn Bhd, HSS Integrated dan HSS Engineering akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyiapkan kontrak tersebut, kata syarikat berkenaan.

Kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan terbabit bagi tahun kewangan berakhir 2017. - BERNAMA

94 dibaca
Berita Harian X