Isnin, 6 March 2017 | 8:04pm

ESPEK-UPSI rancakkan pelancongan Ulu Slim


MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri, Pengerusi Lembaga UPSI, Datuk Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (tiga dari kanan) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Estate Pekebun Kecil Sdn Bhd (ESPEK), Abd Aziz Jaafar (dua dari kiri), dan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (dua kanan), bertukar dokumen ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ESPEK Sdn Bhd dan UPSI di Hotel Seri Pacific. Turut sama, Pengerusi ESPEK, Datuk Mohd Salim Sharif (kiri), Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (kanan). - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Estet Pekebun Kecil Sdn Bhd (ESPEK) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi merancakkan sektor pelancongan pendidikan dan eko-pelancongan di Ulu Slim, Perak.

 

ESPEK yang juga anak syarikat milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin, kerjasama ini adalah langkah berkesan mempromosikan sektor pelancongan berkenaan untuk mahasiswa.

Pengerusi ESPEK, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, antara faedah yang boleh diperoleh menerusi kerjasama ini adalah ia bakal membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan penduduk luar bandar, khususnya peniaga kecil.

 

Beliau berkata, Ladang RISDA di Ulu Slim dekat Slim River, Perak dipilih sebagai destinasi pelancongan untuk menjalankan kerjasama.

 

"Produk pelancongan berkonsepkan pelancongan pendidikan dan eko-pelancongan sememangnya berpotensi tinggi dikembangkan, memandangkan keindahan alam semula jadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.

 

"Konsep pelancongan yang menggabungkan rekreasi dan pendidikan antara aktiviti yang amat popular, bukan hanya bagi pelancong tempatan malah luar negara. Ia secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap sektor pelancongan ini.

 

"Saya percaya, ESPEK dan UPSI dapat menggembleng usaha serta idea bagi mempromosikan sektor pelancongan luar bandar dengan fokus terhadap aktiviti riadah seperti meneroka hutan, bukit, sungai, air terjun, di samping pembelajaran mengenai flora dan fauna," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU yang disaksikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKLW,  Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

 

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif ESPEK, Abd Aziz Jaafar manakala UPSI diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

 

Sementara itu, Mohammad Shatar menggalakkan lebih 20,000 mahasiswa UPSI untuk memanfaatkan infrastruktur di Ulu Slim sebagai tempat riadah, penyelidikan dan pembelajaran, sekali gus membantu meningkatkan jumlah pengunjung ke Ulu Slim.

249 dibaca
Berita Harian X