Isnin, 6 March 2017 | 7:41am
Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan.

Che Ta ke London sambut hari jadi


Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan bersama anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan, terbang ke London, pagi ini, untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-44 pada 9 Mac.

Pemergian Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta, bagaimanapun hanya ditemani tiga anak dan adik-beradiknya yang lain, tanpa suami di sisi.

Tahun lalu, wanita yang turut dikenali sebagai usahawan ini juga meraikan ulang tahun kelahirannya tanpa Zain Saidin, di Makkah.

"Zain sedari awal memang tidak dapat menyertai rombongan kami kerana dirinya sudah pun terikat dengan komitmen perniagaannya. Apakan daya, dia memang kena dahulukan kerja.

"Sedih juga kerana pemergian dan sambutan hari lahir ini tanpa dirinya. Bagaimanapun, suami sudah mengizinkan saya menyambutnya di sana," kata Rozita yang akan berada di kota terkenal itu selama 10 hari.

Sebelum ini, beliau sudah pun terbang ke Tanah Suci Makkah dan Madinah bersama suami serta anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

Selain menunaikan umrah, Rozita juga berada di Arab Saudi bagi menjayakan penggambaran drama terbitan Zeel Production.

"Saya sudah melunaskan bayaran cukai tertunggak sebelum ini. Jadi, tiada lagi isu saya tak boleh terbang ke luar negara," jelas wanita itu yang mengeluarkan minyak wangi jenama Precious dan Gorgeous.

Mengenai peningkatan usianya beberapa hari lagi, Rozita hanya mengharapkan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan, termasuk segala bidang yang diceburinya.

"Semoga apa yang saja yang dilakukan akan dipermudahkan. Insya-Allah," kata Rozita kepada BH Online ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017 memberi sokongan kepada pereka fesyen kegemaran Qudyn.

328 dibaca
Berita Harian X