Jumaat, 3 March 2017 | 6:37pm

Lapangan Terbang Dubai kuat kuasa peraturan baharu


LAPANGAN Terbang Dubai .

DUBAI: Pihak berkuasa lapangan terbang di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menguatkuasakan peraturan lebih tegas bagi membawa bagasi, bermula 8 Mac ini.

Peraturan baharu itu melarang berbentuk tidak sekata, terlampau besar dan bulat manakala semua beg perlu memiliki permukaan rata.

Naib Presiden Operasi terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), Ali Angizeh, berkata pihaknya menyediakan sistem pengendalian bagasi paling canggih di dunia.

"Bagaimanapun, sistem dengan teknologi paling canggih juga boleh terganggu akibat beg dengan bentuk tidak sekata atau terlebih besar. Beg bulat atau tidak memiliki permukaan rata menjadi punca terbesar beg tersekat.

"Halangan itu boleh menutup sistem kami, melewatkan penghantaran bagasi ke pesawat dan menyebabkan kesukaran kepada pelanggan," katanya.

Angizeh berkata, menurut peraturan, beg bulat yang tidak memiliki permukaan rata dilarang didaftar masuk.

"Penumpang yang membawa bagasi tidak mematuhi syarat akan diberi pilihan membungkusnya dalam kotak dengan bayaran tertentu," katanya.

Sistem pengurusan bagasi DXB sepanjang 140 kilometer dan meliputi permukaan seluas 75 padang bola sepak, adalah antara terbesar di dunia.

Lapangan terbang itu menguruskan kira-kira 9.3 juta beg pada Januari lalu. Secara purata, sebuah beg berada 29 minit dalam sistem bagasi DXB. - Gulf News

373 dibaca
Berita Harian X