Rabu, 6 Ogos 2014 | 8:39pm

'Usah biar nafsu kuasai Syawal'

Rai kemenangan dengan tekad teruskan madrasah Ramadan

Ramadan ibarat 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa untuk menahan lapar, dahaga serta mengekang nafsu daripada merajai jiwa. Ibadah puasa dilakukan sama ada orang nampak atau tidak dan inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia serta sifat amanah.

Hampir sebulan mengikuti madrasah Ramadan, masyarakat Islam meraikan Aidilfitri. Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat kerana kemenangan di hari yang mulia ini.

Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa seperti anak yang baru dilahirkan. Namun, tidak kurang juga yang kecundang dan gagal mendapat 'ijazah' dari madrasah Ramadan ini.

Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada 'fitrah' kehidupan yang penuh dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal haramnya dan menindas golongan yang lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT.

Pada hari kemenangan ini, jangan lupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan.

Mungkin ada yang masih di kampung lagi kerana cuti persekolahan yang panjang, ambillah kesempatan untuk mengeratkan silaturahim dan pulanglah nanti dengan suatu tekad untuk memperjuangkan agama Allah SWT ini.

Aidilfitri bukan upacara adat semata-mata tetapi ibadah berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah ibadah, amatlah molek jika hari besar ini dipenuhi dengan ibadah yang dituntut oleh Allah SWT.

Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berbual, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah dengan menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya tergelincir dari apa yang dianjurkan Islam yang menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan yang memerlukan. Pembaziran pula bukanlah suatu yang digalakkan oleh Islam, tetapi amalan syaitan.

Lazimnya, seperti tahun lalu, bulan Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, lama masa yang diluangkan. Bukanlah menyanggah amalan menganjurkan rumah terbuka, tetapi biarlah tindakan itu dibuat secara bersederhana dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan.

Gembira berhari raya, jangan lupa saudara kita yang dalam kesusahan seperti umat Islam di Gaza yang masih lagi dizalimi rejim zionis. Penderitaan mereka sepatutnya dirasai kita semua. Segala upaya patut digabung bagi menyelamatkan Baitulmaqdis daripada kawalan Yahudi.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil kesempatan mengucapkan 'minal aidi wal faizin kullu aamin waantum bi khair' kepada semua ahli PPMM, peguambela dan peguamcara, peguam syarie, penyokong perjuangan PPMM serta seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian.

PPMM menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan terhadap segala tindak-tanduk kami atau kesilapan yang mungkin mengguris perasaan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada BH kerana menyediakan ruangan sebagai wadah PPMM menyebarluaskan maklumat.

Sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan dan kekurangan walaupun berusaha dengan cara yang terbaik berdasarkan Undang-undang Tubuh PPMM. Segala teguran dan nasihat amat dialu-alukan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin dari PPMM.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia

34 dibaca
Berita Harian X