Khamis, 2 March 2017 | 1:25am

Azizulhasni, Siti Rahmah dinobat pemenang AST 2015/16


Azizulhasni Awang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA TERENGGANU: Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang dan atlet silat Siti Rahmah Mohamad Nasir dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2015/2016.

Azizulhasni yang memenangi gelaran itu buat lima kali berturut-turut diwakili ibunya Selamiah Yong, kerana sedang menjalani latihan di Australia.

Olahragawan dan olahragawati itu membawa pulang RM7,000, RM2,000 kepada persatuan yang diwakili, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, malam ini.

Sementara itu, Muhammad Azizi Shamsuddin daripada sukan Muay Thai dan Nur Durriyah Damian (golf) masing-masing dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati harapan dan membawa pulang RM2,500, piala pusingan dan sijil kepujian.

Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim dan Siti Nor Athirah Mohd Anuar, kedua-duanya daripada sukan ping pong dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati Paralimpik.

Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik menjadi milik Terengganu Cycling Team (TSG) Le Tour De Langkawi 2016.

Mohd Azemi Awang Chik dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sukan yang pertama kali diperkenalkan manakala Anugerah Pegawai Persatuan Terbaik dimenangi Ahmad Hisham Hassan daripada Persatuan Lawn Bowl Terengganu.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Sayed Abu Bakar Syed Abdullah dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terengganu atas sumbangan beliau sebagai ahli sukan, pemimpin dan pentadbir sukan.

Allahyarham Rozimi Omar (jurulatih Mountain Bike), Allahyarham Hamzah Yunus (Persatuan Menembak Terengganu), Allahyarham Ab Malik Musa Dali (Persatuan Petanque Terengganu), Allahyarham Azmi Muhammad (Persatuan Bola Baling Terengganu), Mendiang Tan Chong Huat (Panel

Jurulatih Majlis Sukan Negeri Terengganu), masing-masing dipilih penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Anugerah Jurulatih Terbaik menjadi milik Marjan Abdullah@Mohd (judo) manakala Persatuan Lumba Basikal Terengganu memenangi Anugerah Persatuan Terbaik.

BERNAMA

135 dibaca
Berita Harian X