Rabu, 1 March 2017 | 1:24pm

Era baharu hubungan Malaysia-Arab Saudi


RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menaiki pesawat selepas mengadakan lawatan negara selama empat hari di Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Asyraf Hamzah

SEPANG: Lawatan rasmi empat hari Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia mencipta sejarah tersendiri hubungan dua hala negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci selesa dengan segala perjanjian dan pelaburan yang dimeterai kedua-dua negara sepanjang lawatan itu.

"Hubungan antara Raja Salman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cukup erat dan saya percaya menerusi lawatan ini, era baharu hubungan dua hala tercipta antara pemimpin kedua-dua negara.

"Setiap menteri Kabinet dipertanggungjawabkan untuk melihat setiap perkara yang dipersetujui sepanjang lawatan ini bagi memastikan momentum hubungan dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi keberangkatan pulang Raja Salman di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengesahkan hubungan dua hala dengan Timbalan Putera Mahkota yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad ibn Salman Al Saud, berada pada tahap lebih baik.

"Bagi Kementerian Pertahanan, saya sudah berhubung dengan Putera Mohammad Salman dan apa yang dibincangkan akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua minggu.

"Kita mencapai persetujuan melatih angkatan tentera laut Arab Saudi berkaitan pengurusan dan kawalan kapal selam.

"Perincian mengenai perkara ini sedang diuruskan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin," katanya.

52 dibaca
Berita Harian X