Isnin, 20 Februari 2017 | 12:07am

Norizam tekad jadi peneraju industri makanan Bumiputera pertama di Bursa Malaysia

DALAM perniagaan, memasang cita-cita besar untuk menjadikan syarikat sebagai firma berpengaruh dalam bidang berkaitan sudah pasti menjadi matlamat utama apabila seseorang bergelar usahawan.

Tidak kira berapa besarnya misi utama yang ditetapkan meskipun adakala ia mungkin satu angan-angan kosong, tetapi sasaran untuk mencapainya perlu digabungkan dengan usaha dan komitmen bagi memastikan apa jua yang dihajati tercapai mengikut tempoh yang ditetapkan.


PENGASAS Unclezam Frozen Food Sdn Bhd, Norizam Tukiman (kanan) bersama Md Salikon Sarpin, (kiri) Chef Mohd Johari Edrus, (dua dari kiri ) Datuk Sofian Jab (dua dari kanan) merasmikan majlis Pra-pelancaran dan Pendaftaran Kumpulan Pertama Ejen Unclezam Frozen Food di Hotel Zamsaham di Senai Johor. - Foto Zain Ahmed

Bagi Pengasas Unclezam Frozen Food Network Sdn Bhd (Unclezam Frozen) dan Zamsaham Hotel & Resort, Norizam Tukiman, menjadikan syarikat yang dibangunkan hasil titik peluhnya sendiri sebagai firma senaraian awam di Bursa Malaysia adalah matlamat utamanya.

Untuk mencapainya, pasti memerlukan daya usaha yang sangat jitu kerana tidak ramai usahawan Bumiputera yang terbabit dalam industri makanan disenaraikan di bursa tempatan.

Meskipun ia misi sukar, anak kelahiran Johor Bahru itu memiliki ilmu yang berguna memandangnya beliau terbabit secara langsung dalam pasaran saham sebagai seorang remisier sejak 17 tahun lalu hingga kini.

"Segala-galanya akan berpaksikan saham dan penyenaraian kerana dari situ saya membangun. Saya mahu jadikan Unclezam Frozen dan Zamsaham Hotel sebagai entiti awam dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Sasaran saya untuk menjadi peneraju dalam industri sejuk beku dan perhotelan halal yang pertama di senaraikan di Bursa Malaysia. Oleh kerana tidak banyak syarikat halal Bumiputera di senaraikan di Bursa Malaysia setakat ini," katanya.

Tidak hanya sasaran itu, Norizam yang lebih dikenali sebagai Zam Saham dalam kalangan remisier, bertekad membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) terutama Bumiputera yang ketika ini tidak memiliki ruang untuk berkembang kerana pelbagai isu, termasuk keupayaan pengeluaran dan kewangan.

Katanya, menerusi Unclezam Frozen, beliau mahu mewujudkan peluang menjadi usahawan terutama suri rumah yang memiliki hasrat untuk berniaga dengan modal serendah RM6,900 dengan setiap produknya dijual pada harga RM13 hingga RM500.

Unclezam Frozen memasarkan pelbagai produk sejuk beku iaitu Petitpai Abalone, Ikan Patin Masak Tempoyak, Puyuh Pop, Samosa Johor, Karipap, Gendang Kasturi dan Roti Canai.

"Kita sedang mencari ejen untuk kembangkan perniagaan ini yang mana kami menawarkan pakej lengkap e-francais RM6,900 merangkumi bekalan produk sejuk beku; penyejuk beku dan laman web khas untuk ejen.

"Dengan modal serendah itu juga, kami beri kad perniagaan, risalah dan bunting berjumlah 1,000 keping, selain keuntungan hingga 20 peratus daripada setiap produk yang dijual," jelasnya.

Unclezam Frozen yang kini memiliki 24 pusat penghantaran atau stokis di seluruh negara juga bercadang mengembangkan perniagaan itu ke beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis dalam masa terdekat.

"Saya lihat industri produk sejuk beku memiliki potensi untuk berkembang pesat sejajar dengan perkembangan gaya hidup terkini yang ingin sentiasa bergerak pantas.

"Jadi, peluang sudah terhidang dan hanya menunggu untuk disambar. Saya mahu mengembangkan Unclezam Frozen bersama usahawan Bumiputera lain," katanya.

Mengenai perniagaan Zamsaham Hotel, Norizam berkata, hotel berkonsepkan butik dengan ciri pasaran saham global, menawarkan kira-kira 30 bilik yang ditawarkan pada harga RM167 hingga RM250 semalam termasuk sarapan pagi.

Hotel yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai itu juga menawarkan bilik seminar yang mampu memuatkan 150 orang, selain menekankan pematuhan syariah dengan penyediaan surau berasingan untuk naskhah al-Quran di setiap bilik.

"Saya mahu menjadikan kedua-dua perniagaan yang dimulakan dengan modal sendiri ini berlandaskan Islam, selain membantu mereka yang kurang berkemampuan mendapat sedikit manfaat.

"Untuk Unclezam Frozen, sebahagian jualan akan disalurkan kepada mereka memerlukan, manakala Zamsaham Hotel pula menyediakan kemudahan kepada pelajar tahfiz secara percuma. Apa yang penting bagi saya, dalam mengejar saham dunia, saham akhirat juga jangan sesekali dilupakan," tambah Norizam.

Beliau berkata, cabaran dalam perniagaan yang disertai itu adalah bagi meyakinkan mereka yang berminat untuk berniaga memulakan langkah pertama.

"Dalam perniagaan ada pasang surut. Itu adalah lumrah. Cuma bagaimana kita menanganinya adalah perkara paling penting untuk memastikan segala yang dihajati tercapai," katanya.

Norizam berkata, beliau dalam proses memasarkan produk air mineral dari Jepun, kicap dan aneka sos di pasaran Malaysia, termasuk mencapai angka 100 produk Unclezam Frozen selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Saya tetap dengan pekerjaan yang saya ceburi sejak dulu lagi iaitu remisier, malah pada masa sama mengembangkan produk jenama Unclezam Frozen dan Zamsaham Hotel," katanya.

Profil:

Nama: Norizam Tukiman

Umur: 36 tahun

Asal: Johor Bahru

Jawatan: Pengasas Unclezam Frozen Food Network Sdn Bhd dan Zamsaham Hotel & Resort; Presiden Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia; Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Iskandar Malaysia.

486 dibaca
CHEF Mohd Johari Edrus menunjukkan produk Unclezam Frozen Food di Hotel Zamsaham di Senai Johor. - Foto Zain Ahmed
PENGASAS Unclezam Frozen Food Sdn Bhd, Norizam Tukiman di majlis Pra-pelancaran dan Pendaftaran Kumpulan Pertama Ejen Unclezam Frozen Food di Hotel Zamsaham di Senai Johor. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X