Ahad, 19 Februari 2017 | 6:31pm

Raja Salman terima ijazah kehormat UIAM


RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

KUALA LUMPUR: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cemerlang oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada majlis konvokesyen khas di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) universiti itu di Gombak pada 28 Februari ini.

Mengikut portal rasmi UIAM, majlis penganugerahan ijazah kehormat berkenaan akan disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan universiti itu.

Raja Salman akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hujung bulan ini, kunjungan julung kali baginda ke negara ini selepas ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015.

48 dibaca
Berita Harian X