Isnin, 22 Disember 2014 | 5:37pm

Salcon, Loh & Loh dapat subkontrak RM470j daripada MMC Corp

KUALA LUMPUR: Salcon Engineering Bhd, anak syarikat milik penuh Salcon Bhd serta Loh & Loh Constructions Sdn Bhd, menerima surat penerimaan daripada MMC Corp Bhd untuk kerja subkontrak loji rawatan kumbahan berpusat bernilai RM470 juta.

Dalam satu nota kepada Bursa Malaysia hari ini, Salcon Engineering berkata satu syarikat, Salcon Loh & Loh JV Sdn Bhd, akan ditubuhkan bagi melaksanakan projek itu pada asas 50:50.

Projek itu adalah kontrak pembinaan dan tidak ada pilihan untuk diperbaharui semula.

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 hingga 31 Disember 2020," katanya.

Salcon berkata, ia tidak menjangka sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko pelaksanaan yang berkaitan projek terbabit. - BERNAMA

80 dibaca
Berita Harian X