;
Isnin, 6 Februari 2017 | 4:08pm

Pesona alam, sejarah

KEDUDUKAN di hulu Perak sepatutnya menjadikan Gerik agak 'sunyi' dan terpencil, namun tidak seperti diduga, bandar itu sebaliknya tidak pernah sepi pengunjung.

Malah, lokasi berhampiran persimpangan Lebuh Raya 4 dan Lebuh Raya 76 memberi kelebihan kerana menawarkan akses perjalanan ke negeri berjiran iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Menyoroti sejarah, orang yang bertanggungjawab membuka Gerik adalah Tun Saban iaitu anak kepada bekas bendahara Melaka, Tun Perak.

Beliau bersama pengikutnya ber hijrah ke hulu Pattani sebelum meneruskan perjalanan ke Belum, Gerik sebaik kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Legasi Tun Saban berakhir sebaik Raja Reman menceroboh Gerik, menawan Klian Intan seterusnya Pengkalan Hulu menjelang kurun ke-19 dan hanya kembali semula kepada kerajaan Perak pada 1909.

Pokok prasejarah

Perjalanan ke Gerik dengan memandu Nissan X-Trail 2.5 4WD Impul membawa penulis mengenali kewujudan pokok prasejarah yang dikhabarkan berusia jutaan tahun.

Terletak di Pulau Batu Putih, Jurupandu Alam (Nature Guide), Suhaimi Zainol atau lebih mesra disapa Wiloko-Miloko mengesahkan pokok spesies cycads berusia kira-kira 300 juta tahun ada di Temenggor.

"Pokok itu melakukan fotosintesis dengan menyerap air yang menakung di celah batuan manakala air itu diperoleh dari tasik di bawahnya," katanya yang turut memberitahu tidak ramai orang menyedari kewujudan pokok berkenaan.


PEMANCING tegar serta penduduk tempatan mencuba nasib menangkap loma. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Katanya, keistimewaan lain pulau berkenaan yang turut memancing kekaguman adalah lukisan prasejarah di guanya, madu melekat pada batuan, selain kewujudan monyet spesies banded leaf monkey yang tidak `mesra' tetamu.

"Menjelang Maghrib, kawanan lebah yang ingin mengawan terbang menghala ke selatan. Kononnya, ia menjadi panduan orang dulu-dulu mengenal pasti arah tempat. Sementara gua di sini pernah dijadikan markas persembunyian dan latihan ketenteraan pasukan khas gerakan bawah tanah yang ditubuhkan semasa Perang Dunia ke-2, Force 136," kata Wiloko.

Bertemu waris Toh Purba

Toh Purba antara pemimpin disegani di Hulu Perak termasuk Gerik dan berdasarkan rekod sejarah, gelaran itu dianugerahkan Sultan Perak kepada anak tempatan yang berjasa.

Peluang bertemu cucu Toh Purba Lahamat Mat Piah, Shaiful Zahan Johan, 46, dimanfaatkan bagi menyelongkar kehandalan Orang Besar ke-32 itu yang sangat disegani penduduk Kampung Bersia yang dipimpin ketika hayatnya.


CUCU Toh Purba Lahamat Mat Piah, Shaiful Zahan Johan. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Arwah datuk dan ayah, Johan, sering dipanggil mencari mangsa lemas di tasik dan sungai. Ayah pernah membawa naik mayat seorang anggota bomba di Pulau Sembilang dan dua penebang balak yang tergelincir sewaktu menebang pokok itu di Tasik Banding," katanya turut memberitahu kebolehan bapanya mengubati gangguan sihir dan demam.

Namun, arwah datuknya, Allahyarham Lahamat lebih dihormati kerana berjasa merekrut tenaga pejuang untuk pasukan Force 136. Malah, allahyarham dikatakan turut membantu mereka yang diburu tentera Jepun menyelamatkan diri di hutan belantara sehingga Kampung Temengor dan kampung Belum Lama.

Lahamat juga handal ilmu kebatinan dikatakan pernah bersembunyi selama berhari-hari dalam air bagi mengelak ditangkap musuh.


KEDUDUKAN di hulu Perak menjadikan Gerik agak 'sunyi' dan terpencil, namun tidak seperti diduga, bandar kecil itu sebaliknya tidak pernah sepi daripada dikunjungi pengunjung. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Nissan X-Trail lancarkan perjalanan

Memandu Nissan X-Trail 2.5 Impul dari Kuala Lumpur sejauh 285 kilometer cukup tenang dan selesa.

Kenderaan ini kelihatan tegap tetap mempesonakan apabila dibawa melalui jalan tidak rata dan berliku.

Pakej Impul bukan sekadar menyerlahkan penampilannya menerusi pemasangan skirting sisi, rekaan baharu spoiler hadapan dan belakang selain rim aloi Impul Aura SX-50 bersaiz 18 inci malah melancarkan perjalanan meredah jalan berturap walaupun memilih mod pacuan Auto.

Stabil, menyakinkan

Kestabilan kenderaan tidak tergugat meskipun sewaktu percubaan meningkatkan kelajuan membelah selekoh tajam, jalan berliku serta tidak rata, bahkan tindak balas serta prestasi enjin berada pada tahap membanggakan.

Keupayaan kenderaan itu merendahkan ketinggiannya sebanyak 30 milimeter melalui spring sports Impul membantu pemanduan lincah dan responsif, begitupun, pemandu disyorkan berhati-hati sewaktu memandu di jalan sempit, tidak rata serta tidak bertar bagi mengelakkan bawah kenderaan menyagat batu, tunggul dan sebagainya.

Apa pun, pemandu diyakini teruja dengan penambahan visor pintu dan pemijak kaki tahan karat LED yang membawa rekaan lebih moden pada X-Trail.

Pesta loma Jambatan Batu 6 Berkunjung ke Gerik dengan Nissan X-Trail Impul pada penghujung tahun ada rahmatnya kerana kebetulan bermula September hingga Disember adalah musim ikan loma membuang telur, sekali gus menjadikan sepanjang Sungai Kuala Rui sebagai lubuk menangkap ikan itu.


IKAN loma yang berjaya ditangkap pemancing. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Perjalanan ikan itu bermula dari Tasik Chenderoh menuju Empangan Kenering sebelum meneruskan pengembaraannya ke Kuala Sungai Rui namun di Jambatan Batu 6 yang mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records untuk jambatan konkrit satu rentang terpanjang dalam negara, ia banyak ditemui.

Pengerusi Persatuan Anak Gerik di Perantauan, Tajuddin Ali, memberitahu kemunculan ikan itu dalam jumlah luar biasa banyak, malah ada yang meloncat-loncat menjadikan lokasi itu tumpuan utama pemancing tegar serta penduduk tempatan yang ingin mencuba nasib menangkap loma.

"Seperti pesta, segenap tebing dipenuhi pemancing yang bukan sekadar menggunakan batang pancing, bahkan jala, bubu dan penyauk," katanya.

318 dibaca
Berita Harian X