Khamis, 2 Februari 2017 | 12:54pm

Guru perlu sentiasa kreatif dalam PdP


SAJOLI (depan, lima dari kiri) bersama-sama guru sekitar daerah Gombak yang menyertai Bengkel ADD BH 2017 anjuran BH dengan kerjasama Unit Pengurusan Akademik (Sains dan Matematik) PPD Gombak dan GA1S di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Prima Selayang, di sini hari ini. - Foto Aswadi Alias

GOMBAK: Guru perlu sentiasa kreatif dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah termasuk menjadikan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) terutama menggunakan konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) yang diperkenalkan oleh BH.

Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Sajoli Masdor, berkata konsep pembelajaran ADD sudah lama dipratikkan guru kreatif yang tidak menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan semata-mata sebaliknya menggunakan akhbar dalam pembelajaran mengikut situasi atau kontektual.

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi lebih kreatif dan tepat untuk digunakan dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PA21) bagi meningkatkan pengetahuan murid seterusnya melahirkan generasi cemerlang.

"Sehubungan itu, bagi melahirkan generasi holistik, guru perlu sentiasa mengambil insiatif berbeza dan kreatif dalam aspek PdP di dalam bilik darjah," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) BH 2017 peringkat daerah Gombak di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Gombak, Bakhari Abd Rahman dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Seramai 272 guru Sains dan Matematik sekitar daerah Gombak menyertai Bengkel ADD BH anjuran BH dengan kerjasama Unit Pengurusan Akademik (Sains dan Matematik) PPD Gombak dan Guru Aktif 1Selangor (GA1S).

421 dibaca
Berita Harian X