;
Khamis, 26 Januari 2017 | 6:52pm

Kit Siang tunjuk belang sebenar idam jawatan TPM


PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang (kiri). - Foto Mikail Ong

ALOR SETAR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dilihat menampilkan 'belang' sebenarnya yang sememangnya mengimpikan kedudukan Timbalan Perdana Menteri, apabila membuat pengakuan bahawa tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa pun untuk menyandang jawatan itu.

Justeru, Menteri Besar Kedah. Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menggesa Kit Siang supaya berhenti daripada terus berdolak-dalih, kerana kenyataan beliau itu sudah mengesahkan segala-galanya dan ia juga selari dengan pendedahan dibuat bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebelum ini.

"Kenyataan Kit Siang itu menandakan apa yang disebut selama ini memang benar... maksudnya dia ada niat nak jadi Timbalan Perdana Menteri... jika tak, dia tak akan buat kenyataan sedemikian.

"Jadi dia (Kit Siang) tak payah nak nafi lagi selepas ini... ia bukan tuduhan sesiapa, tetapi bersifat kenyataan selepas dia membuat pengakuan itu," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, dipetik berkata DAP ada meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepada seseorang daripada parti itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ahmad Bashah ketika ditanya mengenai risiko pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan pakatan pembangkang lain di Kedah, mengakui pihaknya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang mampu menggugat kerana kemenangan sesebuah parti terletak pada tangan rakyat.

"Biar pun bertanding lebih daripada tiga penjuru, rakyat akan menentukan kemenangan menerusi PRU-14. Walaupun ada ahli UMNO yang beralih ke PPBM, mereka adalah ahli yang mempunyai masalah dengan UMNO... bagi kita orang yang bermasalah ni, biarlah dia pergi kepada parti yang juga bermasalah.

"Sekiranya berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru dalam PRU-14 nanti, kita serah kepada rakyat... selama ini UMNO yang menjaga kebajikan rakyat dan kita tahu mereka (rakyat) lebih bijak memilih dan kita pula tidak akan menganiaya rakyat," katanya.

677 dibaca
Berita Harian X