Khamis, 26 Januari 2017 | 6:36pm

Usaha maksimum guna teknologi di sekolah - Mahdzir


MAHDZIR dan Dr Amin melihat pameran di BETT 2017, London. - Foto Minarni Mat Saad

LONDON: Capaian internet masih menjadi kekangan kepada hasrat Kementerian Pendidikan untuk memaksimumkan penggunaan teknologi pendidikan di semua sekolah di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata masalah itu bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi negara lain.

Beliau berkata, kementerian tidak berdiam diri dan mengambil inisiatif untuk meningkatkan capaian internet di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, Kementerian Pendidikan sedar bahawa penggunaan ICT di sekolah tidak begitu meluas seperti diharapkan dan usaha dipertingkatkan untuk memastikan ICT digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Melalui Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE), pelajar kini boleh mengakses pelbagai rangkaian kandungan dan belajar beberapa pembelajaran pada kadar mereka sendiri.

"Kementerian komited untuk melengkapkan sekolah-sekolah awam di Malaysia dengan akses internet 4G dan VLE.


MAHDZIR dan Dr Amin melihat pameran di BETT 2017, London. - Foto Minarni Mat Saad

"Pada masa ini, 8,185 sekolah disediakan dengan sambungan 4G.

"Bagi memastikan sambungan boleh digunakan sepenuhnya, kementerian konsisten menjalankan sambungan pemetaan untuk mengenalpasti isu dan memudahkan pengajaran yang kondusif serta persekitaran pembelajaran menggunakan ICT, " katanya.

Mahdzir bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada British Educational Training and Technology (BETT) 2017 yang berlangsung sempena Forum Pendidikan Dunia (EWF) di sini, semalam.

Turut menyertai delegasi Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Rozai Shafian.

BETT 2017 adalah pameran berkaitan akademik dan teknologi pendidikan terbesar disertai syarikat seluruh dunia yang menampilkan pelbagai teknologi terkini dalam dunia pendidikan.

Mahdzir menyifatkan lawatan ke UK bagi menghadiri EWF dan BETT 2017 ini sangat baik dan berjaya kerana bukan sahaja dapat menyampaikan apa yang ada di Malaysia malah dapat berkongsi apa yang negara peserta ada.

"Apabila datang ke pameran terbesar ini kita boleh lihat banyak teknologi boleh membantu sekolah dan guru, banyak manfaat dapat dibangunkan di Malaysia untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara," katanya.

BETT Asia akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 November ini dan Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua.

614 dibaca
Berita Harian X