Khamis, 26 Januari 2017 | 2:43pm

Kadar pengangguran negara dijangka tidak lebih 3.3 peratus

SHAH ALAM: Kadar pengangguran di negara ini masih terkawal dan dijangka tidak meningkat melebihi 3.3 peratus tahun ini meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran dan ekonomi global, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem.

Beliau berkata, Malaysia kekal tergolong dalam negara guna tenaga penuh kerana kadar penganggurannya hanya 3.1 peratus, iaitu peratusan di bawah had 4.0 peratus negara dalam kategori itu, seperti yang ditetapkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)

Katanya, berdasarkan OECD, mana-mana negara yang mempunyai kadar pengangguran di bawah empat peratus dianggap sebagai negara yang mencapai tahap guna tenaga kerja penuh.

"Walaupun keadaan ekonomi pada masa ini dilihat tidak menentu, saya berpendapat jika kadar pengangguran meningkat sekalipun, ia tidak akan melepasi paras 3.3 peratus.

"Kerajaan juga menyasar untuk mewujudkan 1.5 juta pekerjaan baharu dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 menjelang tahun 2020," katanya pada sidang media selepas menyampaikan pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada PROTON Holdings Bhd (PROTON) di sini, pagi tadi.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Richard berkata, kerajaan juga berhasrat menaikkan jumlah pekerja mahir daripada 25 peratus pada masa kini kepada 28 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Untuk menjadi negara maju, kita memerlukan tenaga kerja mahir yang lebih ramai. Justeru, kerajaan menerusi kementerian yang terbabit akan mempergiat usaha dengan mengadakan lebih banyak program bagi meningkatkan kemahiran pekerja di negara ini," katanya.

Sementara itu, PROTON menerima pentauliahan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai pusat latihan sehenti bagi Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Ahmad Fuaad berkata, selaras dengan sasaran kerajaan untuk transformasi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional, program SLDN adalah bukti komitmen pihaknya dalam menghasilkan lebih ramai pekerja berkemahiran.

"Sebagai pengeluar kereta nasional, tugas kami bukan saja untuk menghasilkan kereta tetapi juga sebagai tonggak kepada pembangunan negara.

"Tahun demi tahun, pertukaran teknologi bersama rakan kongsi strategik dan kerjasama teknikal dilihat sebagai pemangkin pembelajaran yang pantas kepada pekerja kami," katanya.

Dalam majlis yang sama juga turut berlangsung Majlis Graduasi Diploma Lanjutan Malaysia kepada 30 penerima.

INFO:

*Sehingga kini, pelaksanaan SLDN berjaya melatih seramai 88,182 perantis dan membabitkan pentauliahan 5,070 buah syarikat dan 2,582 buah pusat latihan.

199 dibaca
Berita Harian X