Selasa, 24 Januari 2017 | 8:57pm

Pusat pemindahan di Batu Pahat ditutup


KEADAAN sekitar laluan jalanraya Bandar Segamat ke Yong Peng terputus hubungan apabila air sungai Genuang melimpah di Jalan Genuang, Segamat. - Foto Adi Safri

JOHOR BAHRU: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Sengkuang, Batu Pahat dekat sini, ditutup petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata pusat yang menempatkan 43 mangsa daripada 12 keluarga itu ditutup sepenuhnya pada jam 4.30 petang.

Sehingga jam 7 malam tadi, katanya, sebanyak 29 PPS beroperasi di daerah Segamat membabitkan 1,843 mangsa daripada 516 keluarga.

Di Tangkak, katanya, seramai 105 mangsa membabitkan 27 keluarga ditempatkan di tiga PPS, manakala di Johor Bahru, 95 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

"Di Kota Tinggi, seramai 1,006 mangsa membabitkan 248 keluarga ditempatkan di lima PPS dan 67 mangsa daripada 17 keluarga berada di tiga PPS di Kluang.

"Seramai 113 mangsa membabitkan 43 keluarga ditempatkan di PPS Kompleks Taman Endau Rompin di daerah Mersing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayub berkata, banjir menyebabkan lapan jalan ditutup iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung (Segamat), Jalan Utama FELDA Pemanis (Segamat), Seksyen 2-6 Jalan Segamat-Kuantan, Seksyen 4 FELDA Medoi (Segamat) dan Jalan FELDA Kemelah.

Turut ditutup, Jalan Kampung Orang Asli Sedohok Kahang (Kluang), Jalan Kampung Orang Asli Pasir/Kuala Sengka Kahang (Kluang) dan Jalan Kampung Pasir Salam di Sungai Tiram (Johor Bahru).

286 dibaca
Berita Harian X