Selasa, 24 Januari 2017 | 2:50pm

65 peratus RUMAWIP sudah dibina


MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melihat model bangunan pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Projek RUMAWIP Legasi Residensi Kampung Baru. - Foto Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Sebanyak 52,562 unit rumah Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) sudah dibina setakat Disember lalu, mencapai 65 peratus sasaran daripada keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata projek yang dilaksana sejak 2013 adalah untuk membantu rakyat mendapatkan rumah dengan harga yang berpatutan.

Katanya, dengan projek terbabit, kerajaan dapat membendung spekulasi hartanah tanpa kawalan yang boleh menggugat pasaran hartanah negara.

"Atas sebab ini, pembeli adalah terikat dengan sekatan penjualan iaitu moratorium selamat 10 tahun bagi menjamin kepentingan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kediaman.

"Ketika ini, kementerian ini dan agensi di bawahnya sentiasa berusaha memastikan projek di peringkat Kelulusan Perintah Pembangunan dapat dipercepatkan ke peringkat pembinaan supaya lebih banyak projek dapat ditawarkan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Projek RUMAWIP Legasi Residensi Kampung Baru.

Projek RUMAWIP berkenaan dibangunkan UDA Holding Berhad dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan rumah mampu milik pada harga RM300,000 seunit, terutama kepada penduduk Kampung Baru.

Sejumlah 206 unit pangsapuri dengan keluasan 807 kaki persegi, membabitkan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta parkir berbumbung itu ditawarkan bersebelahan Stesen LRT Putra Kampung Baru.

435 dibaca
Berita Harian X