Selasa, 24 Januari 2017 | 12:09am

Pemanasan global kini tahap kritikal

Kuala Lumpur: Keadaan cuaca tidak menentu yang menyaksikan kawasan tidak pernah dilanda banjir mengalami banjir besar dan masalah kemarau panjang adalah antara kesan daripada pemanasan global yang membawa perubahan atau gangguan terhadap kitaran iklim, habitat dan ekosistem.

Pemanasan global adalah fenomena pemerangkapan gas dikenali sebagai gas rumah hijau membabitkan kumpulan gas (karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida) menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa.

Kumpulan gas itu membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera.

Menurut Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang, trend pemanasan yang menyaksikan 2016 diisytiharkan sebagai tahun ketiga berturut-turut suhu kekal meningkat berterusan sejak 2001 yang mana 16 tahun daripada 17 tahun terpanas berlaku pada tempoh berkenaan.

Beliau yang juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I, Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, laporan IPCC kelima 5 yang diterbitkan pada 2013 menyatakan tiga dekad sebelum ini adalah dekad terpanas secara berturutan sejak 1850.

Katanya, semua itu disebabkan oleh pemanasan global akibat peningkatan kepekatan gas rumah hijau, terutama CO2 yang mencecah paras 400 ppm, satu paras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah bumi sejak hampir sejuta tahun lalu.

"Peningkatan kepekatan CO2 akan memerangkap haba dalam sistem iklim bumi dan sejak tiga dekad lalu laporan IPCC juga mendapati sistem iklim bumi berada tidak seimbang, iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan.

"Saya menjangkakan trend peningkatan suhu ini akan berlaku pada tahun berikutnya selari peningkatan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera seperti yang dilaporkan dalam laporan IPCC," katanya kepada BH.

Sementara itu, Felo Penyelidik Utama, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara UKM (SEADPRI-UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata kenaikan suhu dunia disebabkan kegiatan manusia, terutama perindustrian yang membebaskan gas rumah hijau.

Katanya, tiga tahun berturut-turut menjadi tahun paling panas adalah amaran keras kepada manusia dan kini sudah sampai ke tahap kritikal.

Beliau berkata, pencairan glasier, paras laut semakin meningkat dan cuaca ekstrem juga petanda kesan perubahan iklim sudah sampai tahap tidak boleh dikawal.

"Masyarakat masih belum memahami dan menghayati betapa serius fenomena perubahan iklim. Oleh itu pendidikan awam yang lebih berkesan perlu dipertingkatkan.

"Dasar berkaitan perubahan iklim perlu diarusperdanakan dalam semua sektor pembangunan dan perlu ada tindakan bersifat holistik, membabitkan semua sektor untuk berhadapan dengan fenomena baharu ini," katanya.

Fakta: Pemanasan global membawa tiga impak:
- Perubahan iklim
- Peningkatan paras laut
- Peningkatan suhu

Langkah mengurangkan kesan akibat pemanasan global

  • Kurangkan kebergantungan penggunaan kereta dan kenderaan persendirian

  • Amalkan aktiviti kitar semula

  • Projek landskap dalam taman

  • Hentikan penebangan hutan secara tidak terkawal

  • Kurangkan penggunaan tenaga elektrik, digantikan dengan tenaga diperbaharui

  • Giatkan aktiviti penanaman pokok.

Punca berlaku pemanasan global

1. aktiviti manusia
- perindustrian
- pengangkutan
- pembakaran hutan
- pertanian dan penternakan

2. faktor semula jadi
- letusan gunung berapi

Kesan akibat pemanasan global

  • tanah menjadi tandus menyebabkan hasil pertanian berkurangan

  • kadar hujan berkurangan kerana kemarau menyebabkan proses sejatan tidak mempunyai wap air untuk membentuk awan tebal

  • peningkatan paras laut

  • ancaman hidupan laut

  • perubahan habitat

  • gangguan cuaca

  • penyebaran penyakit.

Proses menyebabkan pemanasan global
- jerebu
- penipisan lapisan ozon
- kesan rumah hijau
- pulau haba bandar
- hujan asid
- kemarau

  • 2016 diisytihar NASA, NOAA dan UK Met Office sebagai tahun terpanas mengatasi 2015

  • Kesan El Nino menyumbang satu pertiga daripada peningkatan suhu 2016

    *

  • 0.87 ° Celsius - purata peningkatan suhu global

  • Suhu dunia naik pada kadar membimbangkan sejak 1970-an

  • 81.1 milimeter (mm) - paras laut pada September 2016

  • Antartika kehilangan 134 gigatan (gigatonnes) ais setahun sejak 2002

  • Greenlad kehilangan 287 gigatan (gigatonnes) ais setahun sejak 2002

  • Pelepasan karbon dioksida (CO2) pada Disember 2016 pada kadar 405.25 ppm

  • Amerika Syarikat ramal suhu bumi akan meningkat sebanyak 45° Celsius menjelang 2030

  • Proses mengurangkan kepekatan gas CO2 boleh makan masa antara 200 hingga 300 tahun

  • Paras laut seluruh dunia meningkat sekitar 14 sentimeter (cm) dalam tempoh 10 tahun terakhir

  • Pemanasan global beri kesan negatif kepada nisbah jantina spesies amfibia dan reptilia

  • Jika suhu terlalu panas, populasi spesies amfibia dan reptilia betina lebih banyak berbanding jantan

  • Kajian panel antara kerajaan mengenai perubahan iklim (IPCC) mendapati 98 peratus penyebab kenaikan suhu bumi disebabkan pembebasan gas CO2

  • Industri pengangkutan dan perkilangan menjadi penyumbang peningkatan suhu bumi apabila bahan api fosil digunakan sebagai sumber tenaga

  • Bahan api fosil mempunyai kandungan karbon sangat tinggi selain pecahan seperti metana dan antrasit

  • Peningkatan suhu dunia secara mendadak bermula sejak zaman revolusi perindustrian apabila manusia guna bahan api fosil secara meluas

  • Aktiviti pembalakan menyebabkan kehilangan pelbagai spesies pokok

  • Proses fotosintesis oleh tumbuhan hijau berfungsi sebagai penyerap CO2, bebaskan gas oksigen.

968 dibaca
Berita Harian X