;
Isnin, 23 Januari 2017 | 12:01am

Lagu Lelaki Teragung menjuarai AJL31


PENYANYI, Dayang Nurfaizah membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Lagu Lelaki Teragung ciptaan Natasha dan Iman Imran dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Lagu yang dipersembahkan oleh Dayang Nurfaizah itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000 selain baucar produk CJ Wow Shop.

Dayang turut diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik, sekali gus memenangi trofi dan RM12,000. Ia kemenangan ketiga berturut-turut penyanyi itu dalam kategori terbabit.


JUARA AJL31, Dayang Nurfaizah (tengah)bersama penulis lirik, Iman Imran (kiri) dan Natasha pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

AJL31 yang dipancarkan secara langsung di TV3 juga menyaksikan lagu Terimaku Seadanya ciptaan Ajai yang didendangkan Misha Omar dan Hafiz Suip meraih tempat kedua, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM35,000 dan trofi.

Tempat ketiga dengan hadiah RM20,000 dan trofi pula dimenangi lagu Sudah Ku Tahu ciptaan Razif yang dinyanyikan kumpulan Projector Band.

Kategori persembahan Terbaik dimenangi kumpulan Khalifah yang mendendangkan lagu Hang Pi Mana. Kemenangan itu membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Semua kategori diadili oleh juri profesional, selain Persembahan Terbaik yang dibuka kepada undian peminat secara atas talian menerusi laman sesawang, www.anugerahjuaralagu.com.

Dikendalikan empat hos iaitu Fara Fauzana, Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim dan Fizi (Hot FM), acara kemuncak berkenaan turut menampilkan Ameng Spring, Ella dan Man Bai sebagai artis undangan.

AJL31 terbitan TV3 yang juga boleh ditonton melalui portal Tonton, laman rasmi www.anugerahjuaralagu.com dan diikuti melalui radio Hot FM.

Ia juga ditayangkan serentak di pawagam GSC Dataran Pahlawan, Melaka, dengan menampilkan beberapa artis terkenal seperti Redza Rosli, Zamarul Hisham, Ruhainies, Mimi Lana, Puteri Aishah, Dazrin Kamarudin, Mustaqim Bahadon, Idris Khan, Raja Afiq, Kamal Sumbu, Abam Bocey, Amir dan Syai Seekers serta kumpulan Forteen.

Lagu dan penyanyi bertanding pada AJL31:

  • Lelaki Teragung (dendangan Dayang Nurfaizah)

  • Terakhir (Sufian Suhaimi)

  • Sudah Ku Tahu (Projector Band)

  • Selamanya Cinta (Alif Satar & Shila Amzah)

  • Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip)

  • Ku Rela Dibenci (Aiman Tino)

  • Di Amaran Mama (Hazama)

  • Obses (Akim & The Majistret)

  • Setia (Elizabeth Tan & Awi Rafael)

  • Kalah Dalam Menang (Syamsul Yusof dan Mawi)

  • Hang Pi Mana (Khalifah)

  • Anugerah Terindah (Black)

309 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »