Ahad, 22 Januari 2017 | 4:51pm

Celine Dion rakam runut bunyi


CELINE Dion akan menyanyikan runut bunyi filem Beauty and The Beast edisi terbaru.-Foto NSTP

PENYANYI terkenal antarabangsa, Celine Dion, akan menyanyikan runut bunyi filem Beauty and The Beast edisi terbaru yang menampilkan Emma Watson sebagai teraju utama.

Perkara itu dikongsi sendiri oleh Dion menerusi laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.

Bagi filem bikinan semula yang bakal ditayangkan pada Mac depan itu, Dion mengalunkan suara lemak merdunya menerusi lagu berjudul `How Does A Moment Last Forever'.

Dua puluh lima tahun lalu, beliau menyanyikan lagu tema untuk filem berkenaan yang dihasilkan dalam versi animasi bersama Peabo Bryson.

Hasilnya, lagu diberi judul Beauty and The Beast itu memenangi trofi Grammy dalam kategori Persembahan Vokal Pop Duo Terbaik, selain menjadi dendangan kegemaran ramai di seluruh dunia.

"Menjadi sebahagian daripada filem ini ialah pengalaman ajaib dalam hidup saya. Saya benar-benar berasa dihargai apabila diberi ruang terbabit untuk filem ini," kata penyanyi berusia 48 tahun itu di laman rasmi Facebook miliknya.

Keterujaannya itu turut dikongsi bintang kelahiran Kanada itu di laman Twitter.

"Saya amat teruja untuk memaklumkan dapat menyanyikan lagu baharu berjudul How Does A Moment Last Forever bagi filem produksi Disney ini," katanya.

Lagu berkenaan dicipta Alan Menken dengan liriknya nukilan Tim Rice.

Selain Dion, Disney memaklumkan penyanyi, John Legend dan Ariana Grande, akan turut menyanyikan lagu tema filem berkenaan.

Kedua-dua penyanyi itu akan mendendangkan semula lagu Beauty and The Beast yang pernah dinyanyikan Dion dan Bryson.

146 dibaca
Berita Harian X