Khamis, 19 Januari 2017 | 11:15am

Dana RM27 juta tambah pendapatan pekebun kecil


Ismail Sabri diiringi Hasni (kiri) menyampaikan replika cek pembangunan RISDA Johor kepada Pengarah RISDA Johor, Damanhuri Toha (kanan) selepas merasmikan Pejabat RISDA Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Johor Bahru: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM27 juta pada tahun ini bagi melaksanakan aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan kepada lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah yang akan dilaksanakan secara agresif itu sejajar dengan penetapan aktiviti ekonomi tambahan perlu meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, Johor menerima RM3 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti meningkatkan pendapatan, termasuk perusahaan madu kelulut, cendawan tiram dan penanaman pisang serta nanas.

Harga getah meningkat

"Tahun ini adalah permulaan yang baik bagi pekebun kecil kerana harga getah meningkat sehingga RM4.70 sekilogram bagi getah beku mangkuk (cuplump). Saya pasti kebanyakan pekebun kecil menarik nafas lega di atas kenaikan harga komoditi ini.

"Bagaimanapun, harga getah pasti ada pasang surutnya, jadi program meningkatkan pendapatan seperti perusahaan madu kelulut, cendawan tiram dan penanaman nanas serta pisang akan dilaksanakan secara agresif tahun ini bagi memastikan ekonomi pekebun kecil terus makmur," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pejabat RISDA Johor dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara RISDA dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di sini, semalam.

Pejabat RISDA Johor yang beroperasi di Bandar Baru Uda sejak 2003, menjadikan RISDA Johor kini mempunyai tujuh pejabat daerah dan 21 pejabat stesen dengan 388 kakitangan. 

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Azizan Mohamad Sidin, Ketua Pengarah RISDA, Mohd Najib A Samad dan Ketua Pengarah LPNM, Sahdan Salim.

1.229 juta hektar tanam getah, sawit

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga kini RISDA sudah membangunkan tanah untuk tanaman getah dan sawit seluas 1.229 juta hektar membabitkan 509,168 pekebun kecil di seluruh negara.

Katanya, RISDA juga menerima peruntukan bagi program pembangunan sebanyak RM358.8 juta, manakala RISDA Johor diperuntukkan RM28.38 juta membabitkan program pembangunan tanam semula, prasarana, pengembangan dan aktiviti keusahawanan.

66 dibaca
Berita Harian X