Khamis, 19 Januari 2017 | 8:53am

Sektor kewangan bantu kenaikan saham di AS

NEW YORK: Indeks penanda aras Wall Street, S&P 500 mengakhiri sesi hari ini lebih tinggi, dibantu oleh kenaikan saham kewangan selepas Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen, berkata adalah wajar untuk menaikkan kadar faedah secara berperingkat.

Indeks kewangan S&P meningkat 0.8 peratus, menambah kepada kenaikan sesi lewat hari ini susulan kenyataan Yellen kepada Commonwealth Club of California di San Francisco.

Saham kewangan mula meningkat sejak pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November lalu, berikutan jangkaan kadar faedah lebih tinggi dan kawal selia akan dilonggarkan di bawah pentadbiran bakal Presiden, Donald Trump.

Bagaimanapun, saham Goldman Sachs jatuh 0.6 peratus dan Citigroup susut 1.7 peratus. Kedua-dua syarikat melaporkan prestasi kewangan suku tahunan awal hari ini.

Indeks Dow berakhir lebih rendah buat hari keempat berturut-turut. Rali pasca pilihan raya dalam ekuiti AS mula perlahan beberapa minggu kebelakangan ini, apabila pelabur menunggu Trump untuk melaksanakan janji kempennya.

Pelabur berharap untuk mendapatkan lebih banyak pandangan selepas pelantikannya esok.

"Anda mungkin melihat pelabur berehat di sini dan menunggu di luar, hanya untuk menunggu apakah bentuk persekitarannya nanti di samping dasar yang akan dilaksanakan," kata Ketua Ahli Strategi Pasaran JonesTrading di Connecticut, Michael O'Rourke.

Purata Perindustrian Dow Jones ditutup turun 22.05 mata, atau 0.11 peratus kepada 19,804.72, S&P 500 menokok empat mata atau 0.18 peratus kepada 2,271.89 dan Komposit Nasdaq menambah 16.93 mata atau 0.31 peratus kepada 5,555.65.

Saham Qualcomm meningkat 1.5 peratus, sekali gus membantu meningkatkan indeks Nasdaq selepas Morgan Stanley dalam satu nota berkata kerajaan AS mungkin enggan meneruskan satu kes anti pencatutan terhadap syarikat itu. - REUTERS

104 dibaca
Berita Harian X