Rabu, 18 Januari 2017 | 12:56pm

Elly perketat keselamatan kediaman demi keluarga


ELLY Mazlein. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Demi keselamatan diri dan anak tersayang, selain mengambil langkah berjaga-jaga daripada sebarang perkara tidak diingini, Elly Mazlein, 36, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya.

Bergelar ibu tunggal, penyanyi bernama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini mahu yang terbaik buat keluarganya.

Ibu kepada Putri Sara Sefhia ini berkata, pemasangan kamera berkenaan dilakukan bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab dapat dikesan di kawasan kediamannya.

"Memang tahap kawalan di rumah saya agak ketat ketika ini. Hanya orang tertentu dibenarkan masuk. CCTV ini dipasang supaya tiada individu yang berniat membuat onar dan melakukan perkara jahat berada di kawasan kediaman saya.

"Saya percaya, langkah berjaga-jaga ini perlu kerana kita tidak mampu menduga kejadian tak diingini. Jadi, CCTV ini sebagai langkah awal menjauhkan kami sekeluarga daripada perkara tak elok," katanya ketika ditemui di ibu kota dalam majlis pelancaran butik baharu salun berkonsep,Aveda baru baru ini.

Selepas penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim ketiga, rezeki Elly, yang turut dikenali sebagai Kak Lina Pop Pom di kalangan peminat, juga semakin murah. Elly kini mengikat kontrak bersama KRU Music dan bakal muncul dengan sebuah album.

"Alhamdulillah, saya juga akan mula berlakon pada April depan dan baru saja mengikat kontrak sebagai artis di bawah KRU Music. Saya percaya kredibiliti syarikat rakaman itu mampu mengaturkan kerjaya nyanyian saya pada tahap terbaik," katanya.

522 dibaca
Berita Harian X