Isnin, 16 Januari 2017 | 5:51pm

'BR1M hasil usaha, dasar kerajaan BN'


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tiada mana-mana pihak boleh meraih kredit daripada pelaksanaannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata manfaat pelaksanaan BR1M mula diakui oleh pihak yang sebelum ini mengkritik dasar terbabit apabila mengubah pendirian dengan mahu meneruskan pula bantuan itu jika mereka membentuk kerajaan.

Musa berkata, kerajaan Sabah sentiasa menyokong pelaksanaan BR1M yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan kerana ia dasar yang mantap dan banyak membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Pembayaran BR1M mungkin dilihat kurang penting bagi sesetengah orang, namun ia sangat diperlukan oleh rakyat yang memiliki jumlah pendapatan minimum.

"BR1M adalah bukti usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat. Rakyat perlu sedar BRI1M adalah dasar dilaksanakan kerajaan BN yang dipimpin Datuk Seri Najib dan tiada orang lain boleh menuntutnya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika parti campuran pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Kenyataan itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini dengan melabelkan BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan.

61 dibaca
Berita Harian X