Sabtu, 14 Januari 2017 | 3:09pm
ELLY Mazlein bersyukur dapat melihat proses pembesaran Putri Sara Sefhia yang bakal menginjak usia setahun, tidak lama lagi.
PUTRI Sara Sefhia.

Elly Mazlein puas tengok Sefhia membesar


ELLY Mazlein bersama anaknya, Sefhia. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual kerja yang padat, penyanyi Elly Mazlein bersyukur dapat melihat proses pembesaran buah hati tersayang, Putri Sara Sefhia yang bakal menginjak usia setahun, tidak lama lagi.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 37, memberitahu BH Online, Sefhia ibarat tunjang utama dan pemberi rezeki sejak bergelar ibu tunggal.

"Alhamdulillah, tidak lama lagi Sefhia berusia setahun. Proses pembesarannya menjadikan saya matang menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

"Sefhia pernah menghidap demam kuning ketika berusia sebulan disusuli demam biasa. Namun, saya bersyukur kerana berpeluang melihat anak membesar di depan mata biarpun sibuk," katanya.

Berfikiran positif, Elly tidak pernah melihat status ibu tunggal sebagai bebanan.

"Hadirnya Sefhia banyak memberikan saya rahmat dan menjadi pembuka rezeki buat saya," katanya.

Elly dan bekas suaminya, Azmi Hatta bernikah pada November 2014. Mereka bagaimanapun berpisah, Oktober lalu, ketika Elly hamil empat bulan.

Peserta musim ketiga Gegar Vaganza (GV3) itu melahirkan Sefhia pada 9 Mac tahun lalu.

Elly berharap tahun 2017 menjadi permulaan yang baik untuk hidupnya. Selain memenuhi permintaan persembahan pentas, Elly sibuk merencana kerjaya seni.

"Saya bakal merakamkan single terbaru bersama KRU. Ia dijangka dipasarkan bulan depan. Buah tangan ini adalah hadiah kepada peminat yang menyokong kerjaya seni dan menantikan buah tangan terbaharu daripada saya.

"Selain itu, saya akan menjayakan drama bersiri 40 episod dalam tempoh terdekat. Peminat selalu bertanya bila saya akan kembali berlakon, jadi projek kali ini seakan-akan menjawab pertanyaan mereka," katanya.

359 dibaca
Berita Harian X