Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:04am

Layang-layang bukan lagi permainan kampung

SARATOK: Pergerakan menarik layang-layang tradisi dan moden di udara ketika Festival Layang-Layang Kabong 2017, di Pantai Tanjung Kembang, Kabong, ternyata memukau pandangan pengunjung, termasuk pelancong asing.

Malah, suasananya cukup meriah dengan penyertaan lebih 220 pemain layang-layang atau dalam istilah tempatan, 'pelayang', termasuk 50 peserta dari Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA) yang cuba mencipta rekod sebagai pesta layang-layang terbesar di Bumi Kenyalang.

Festival yang julung kali dianjurkan sempena kedatangan tahun baharu 2017, baru-baru ini, turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, sekali gus menjadikannya produk pelancongan popular di wilayah tengah negeri ini.

Pengerusi KEGUSA, Iskandar Naziri, berkata festival itu berjaya mencatat rekod baharu selepas penganjuran pertamanya di Padang Taman Susur Jambu Sarikei, pertengahan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, pencapaian itu satu kejayaan manis dan pengiktirafan paling bermakna dalam kalangan pemimpin serta masyarakat setempat, lebih-lebih lagi dengan kehadiran lebih 6,000 pengunjung, termasuk pelancong asing.


PENGANJURAN pertama Festival Layang-Layang Kabong berjaya. - Foto Khalid Latip

ANTARA wau yang dipamerkan kepada orang ramai di Festival Layang-Layang Kabong. - Foto Khalid Latip

"Ini jelas membuktikan penganjuran acara sebegini mempunyai pengikut tersendiri. Kerjasama padu menjadikan acara yang pada mulanya hanya sekadar angan-angan akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Iskandar berkata, pencapaian itu turut memberi impak positif, terutama dalam konteks pelancongan kerana ia menjadi platform yang membantu mempromosikan keunikan daerah kecil itu sebagai destinasi pelancongan.

"Bagi KEGUSA, penganjuran acara itu lebih bertujuan memartabatkan permainan tradisi ini. Ia bukan lagi sekadar `permainan kampung,' lebih-lebih lagi dengan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional," katanya.

"Justeru, kita yakin jika sokongan baik ini berterusan, terutama dari kerajaan negeri dan pejabat daerah, ia pasti menarik minat lebih ramai peserta, sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung sanggup memandu lebih 250 kilometer kilometer dari Serian berhampiran Bandaraya Kuching ke Kabong, semata-mata mahu menyaksikan festival itu.


DEMONSTRASI pembuatan wau oleh ahli KEGUSA kepada pengunjung Festival Layang-Layang Kabong. - Foto Khalid Latip

ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir dan tetamu jemputan lain mengabdikan kenangan bersama layang-layang yang memaparkan wajah Tuan Nazari daripada Majlis Pelayang Malaysia. - Foto Khalid Latip

Muliadi Mat Kassim, 39, berkata beliau berbuat demikian kerana meminati layang-layang sejak kecil dan menyifatkan permainan itu amat menyeronokkan.

"Setiba di festival, saya cukup teruja melihat pelbagai saiz dan motif (corak) pada layang-layang yang diterbangkan. Sebelum ini, saya pernah beberapa kali mengunjungi Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo di Bintulu.

"Inilah kali pertama acara seumpamanya dianjurkan di Kabong. Tentu sekali saya tidak mahu melepaskan peluang bagi mengalami sendiri keunikannya. Ia permainan berorientasikan keluarga dan penganjuran pesta ini cukup meriah," katanya kepada BH Plus.

Pengunjung, Dayang Siti Zulaika Awang Daud, 45, pula mencadangkan kepada penganjur, khususnya Pusat Khidmat ADUN Kabong dan Majlis Daerah Kabong menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan, sekali gus menambahkan produk pelancongan di daerah kecil itu.

"Festival Layang-Layang Kabong 2017 cuma diadakan sehari sahaja. Mungkin selepas ini penganjur boleh mengadakannya dalam tempoh dua atau tiga hari bagi memberi peluang kehadiran lebih ramai pengunjung.


SEBAHAGIAN dari layang layang dihasilkan oleh peserta dipamerkan kepada orang ramai. - Foto Khalid Latip

"Kita tertarik menyaksikan pelbagai bentuk layang-layang, dengan corak dan warna ditampilkan cukup kreatif serta menarik. Di tempat asal saya iaitu Limbang, jarang diadakan acara sebegini. Ia juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Muzaid Hamidi, 20, berkata beliau meminati permainan layang-layang sejak di sekolah rendah, malah cukup teruja dapat menyertai pertandingan kali ini.

"Saya amat menyukai 'stunt kite' kerana keunikannya. Selain memerlukan kemahiran mengendalikannya, layang-layang jenis ini juga mempunyai bunyi dengungnya apabila terbang di udara," katanya.

INFO

  • Gudi adalah perkataan dalam 'Bahasa Melayu Sarawak' bermaksud 'layang-layang'.
  • Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA) ditubuhkan oleh lima bersaudara dua tahun lalu.
  • Ditubuhkan selepas lima bersaudara berkenaan mencipta kejayaan dalam Festival Layang-Layang Antarabangsa di Pasir Gudang Johor.
  • Penubuhan KEGUSA bertujuan memupuk minat dalam kalangan orang ramai, khususnya generasi muda terhadap permainan layang-layang.
  • KEGUSA memiliki 26 ahli berdaftar berusia 18 tahun-50 tahun.
  • Semua layang-layang dihasilkan sendiri oleh ahli kelab berteraskan kreativiti masing-masing.
  • Mencipta sejarah memperkenalkan permainan layang-layang berlampu pada waktu malam di Sarawak.
363 dibaca
LAYANG-LAYANG gergasi menarik perhatian pengunjung yang berkunjung di Festival Layang-layang Kabong. - Foto Khalid Latip
FESTIVAL ini menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. - Foto Khalid Latip
AHLI KEGUSA yang menjayakan program Festival Layang-Layang Kabong. - Foto Khalid Latip
DEMONSTRASI pembuatan wau oleh ahli KEGUSA kepada pengunjung Festival Layang-Layang Kabong. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X