Isnin, 15 Disember 2014 | 6:31pm

Hafifi, Fatehah calon popular Olahragawan, Olahragawati Terengganu


Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor dan pelumba basikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa.

KUALA TERENGGANU: Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor dan pelumba basikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa antara calon pilihan yang tersenarai merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2013/2014, esok.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Abdul Rashid Jusoh, berkata atlet-atlet elit terbabit sebahagian daripada calon yang tersenarai bagi merebut dua anugerah tertinggi negeri itu.

Mohd Hafifi memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai lepas manakala Fatehah merangkul pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September lepas.

Selain Mohd Hafifi, calon Olahragawan lain ialah pemenang pingat perak acara trio memanah, Sukan Asia 2014, Khairul Anuar Mohamad, pelumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang serta kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

Bagi anugerah Olahragawati, selain Fatehah, calon lain ialah pemain hoki negara, Rabiatul Adawiyah Mohamad, pemanah negara, Nur Aliar Ghapar serta atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari.

Pada sidang media di sini hari ini, Abdul Rashid berkata sebanyak 13 anugerah dipertandingkan termasuk Olahragawan dan Olahragawati Harapan, Pasukan Terbaik dan Anugerah Khas Paralimpiad.

Katanya Olahragawan dan Olahragawati Terengganu masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 sementara wang tunai RM2,500 masing-masing untuk pemenang Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan.

Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2013/2014 akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini, malam esok. - Bernama

140 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »