Khamis, 12 Januari 2017 | 7:12pm
NISSAN Navara NP300. - Foto Asyraf Hamzah

Nissan NP300 Navara pikap praktikal


NISSAN Navara NP300. - Foto Asyraf Hamzah

PENGGUNAAN trak pikap tidak lagi tertumpu kepada 'off-road' atau laluan lasak. Ketika ini, ramai yang menggunakan trak pelbagai guna untuk kegunaan komersial, termasuk 'berhias' supaya ia lebih menonjol apabila melungsuri jalan raya.

Taruhan baharu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bagi model generasi ketiga Nissan Navara NP300 sememangnya hadir tepat pada masanya.

Dengan perubahan keadaan pasaran pada masa ini, ia membuka ruang kepada pengeluar termasuk ETCM memperkenalkan model yang khusus memenuhi keperluan peribadi dengan tambahan aksesori menarik.

Seperti sedia maklum, Nissan Navara NP300 tetap mengekalkan DNA model popular Navara D40 yang diperkenalkan sebelum ini tetapi bagi model terkini itu, ia dipertingkatkan dengan ciri keselesaan.

Ternyata gaya dan ciri terkini membuatkan ia sangat praktikal untuk membawa pelbagai barangan berat, malah menjadi pilihan buat penggemar sukan lasak pacuan empat roda.

Kesempatan penulis memandu uji model terbaru Navara yang dikuasakan oleh enjin 2.5 VL D23A25VLXX dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) dan dipadankan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama pilihan mod manual, memberikan kepuasan termasuk gaya pemanduan dan keselesaan.

Malah, padanan dwi-kabin yang diterapkan untuk varian ini membolehkan ia digunakan sebagai jentera untuk pulang ke kampung oleh keluarga kecil kerana ia masih lagi selesa untuk perjalanan jauh, selain penggunaan bahan api juga sangat cekap.

Pikap terbaharu ini menawarkan gabungan terbaik dengan pemanduan yang dinamik, ketahanan luar biasa, reka bentuk lebih garang dan teknologi termaju.

Model ini juga menjadi trak pikap jenama Jepun pertama di Malaysia yang menggunakan suspensi belakang jenis multi-link. Suspensinya berupaya memberi pengalaman pemanduan dan pengendalian selesa umpama sebuah SUV walaupun ketika membawa beban muatan maksimum seberat satu tan.

Selain dibantu sistem suspensi, Navara baharu ini juga menawarkan keselesaan apabila tempat duduknya diinspirasikan daripada konsep graviti sifar yang pertama dalam kelasnya, sekali gus memberikan sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan.

Model yang penulis pandu ini turut dipadankan dengan kerusi menggunakan sistem kawalan automatik.

Malah, kesengsaraan penumpang belakang bukan lagi masalah bagi Nissan NP300 Navara. Ini kerana sudut menyandar ditambah baik bersama corong penyaman udara bagi memastikan keselesaan sepanjang masa.

Ruang kabin pula membolehkan pemandu melihat paparan maklumat kenderaan dengan skrin warna 'Advanced Drive Assist Display' (ADAD).

Sementara stereng sporty bersama butang kawalan memudahkan pemandu mengakses terus sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari.

Pada sesi pandu uji juga, penulis berkesempatan mencuba kuasa dan keupayaan Nissan NP300 Navara di litar lasak di Putrajaya. Ternyata ia tidak mengecewakan kerana pengendaliannya sangat mudah, mungkin jalan yang dilalui penulis belum betul-betul lasak.

Di jalan raya biasa, ia seolah-olah 'kereta kebal' yang menyusuri lebih raya tetap jauh berkuasa dan amat sesuai digunakan untuk pemanduan harian.

Kesimpulannya, model ini sebenarnya lebih gah dan garang berbanding model terdahulu yang menerima perubahan imej luaran dengan warisan reka bentuk Nissan.

Info:

Spesifikasi

* Nissan NP300 Navara 2.5VL AT

* Enjin: 2,488cc DOHC 16 injap dengan VGS

* Kuasa maksimum: 163PS @ 3,600rpm

* Tork maksimum: 403Nm @ 2,000rpm

* Transmisi: Automatik tujuh kelajuan dengan mod

* Harga atas jalan termasuk insurans RM124,737.60

781 dibaca
Berita Harian X