Sabtu, 7 Januari 2017 | 1:23pm

Putin arah usaha bantu Trump, burukkan Clinton


Vladimir Putin (kanan) dan Donald Trump.

WASHINGTON: Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan satu kempen rahsia untuk mempengaruhi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat supaya lebih memihak calon Republikan Donald Trump berbanding calon Demokrat, Hillary Clinton, lapor agensi perisikan negara itu, semalam.

Laporan itu adalah kenyataan rasmi pertama kerajaan dalam menyokong dakwaan sensasi Trump dan sekutunya melakukan tindakan yang bertentangan undang-undang.

Namun, laporan perisikan versi yang tidak dikelaskan sebagai akaun sulit seperti versi terperinci yang diserahkan sebelum ini kepada Trump, Rumah Putih dan pemimpin kongres, tidak menyertakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Presiden yang baru dilantik itu selepas mengadakan mesyuarat bersama beberapa pegawai perisikan mengatakan adalah jelas jawatan presiden yang bakal dipertanggungjawab kepadanya bukan disebabkan oleh pencerobohan e-mel yang dilakukan Russia.

Versi laporan umum itu adalah laporan awam paling terperinci setakat ini, yang mendedahkan usaha Russia untuk mengganggu proses politik AS dengan bertindak menggodam akaun e-mel Majlis Demokratik Kebangsaan dan ahli Demokrat seperti Pengerusi Kempen Hillary Clinton, John Podesta.

Menurut laporan itu, Russia juga dikatakan menggunakan kempen propaganda di beberapa negeri yang dibiayai dan mengupah 'trolls' untuk membuat komen negatif dalam media sosial. Tiada dakwaan yang mengatakan Russia menjejaskan kiraan sebenar undi atau mengganggu mesin kiraan undi. - AP

55 dibaca
Berita Harian X