Khamis, 5 Januari 2017 | 6:45pm

Aizat bina keyakinan saya menyanyi - Fattah


FATTAH Amin hadir pada majlis pelantikannya sebagai Ahli Skuad Selebriti Oppo bagi telefon bimbit Oppo R9s di Nexus Bangsar, hari ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin, 26, mengakui penyanyi yang juga komposer, Aizat Amdan, adalah antara insan yang banyak menanam keyakinan dirinya bagi merakamkan single terkini, Wanita Terakhir.

Menurut aktor drama bersiri Playboy Itu Suami Aku dan Suri Hati Mr Pilot ini, pengalaman luas bekas pelajar Akademi Fantasia berkenaan membuatkannya merebut peluang keemasan yang terhidang.

Hasilnya, single itu bukan sekadar menyemarakkan kerjaya seni Fattah selepas kejayaan drama lakonannya bersama Neelofa, malah Wanita Terakhir menduduki senarai teratas carta iTunes Malaysia selepas beberapa hari dilancarkan.

Selain Aizat, lagu terbabit turut mendapat sentuhan Anas Amdan dan Mel Ramlan.

"Saya lebih bersedia kali ini kerana sempat mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafi.

"Anas pula pernah mendengar saya menyanyikan semula lagu Asfan iaitu Semua Tentang Kita dan kebetulan juga lagu yang dicadangkan kepada saya mempunyai rentak hampir sama.

"Begitupun, Aizat adalah antara sebab saya menyahut peluang ini. Pengalamannya yang luas dalam dunia muzik dan keyakinan ditunjukkannya terhadap diri saya, membuatkan saya menerima peluang keemasan ini. Saya jadi lebih yakin untuk menyanyi kali ini," katanya.

Sebelum Wanita Terakhir, Fattah pernah muncul bersama lagu Hero Untukmu sekitar tahun 2015. Lagu terbabit menyaksikannya berkolaborasi bersama Sherry Ibrahim dan RJ.

Tidak cukup dengan kegagalan meninggalkan impak terhadap kerjaya nyanyiannya, lagu itu didakwa mempunyai persamaan dengan dendangan artis Indonesia, Irwansyah.

"Saya bersyukur lagu terbaru ini memberikan semangat baharu untuk saya pada awal 2017. Malah, selepas impak drama Suri Hati Mr Pilot, lagu ini menjadi kesinambungan kepada momentum kerjaya seni saya.

"Ketika ada yang sudah lupa saya juga minat menyanyi kerana memberi tumpuan kepada lakonan, komposer lagu ini cuba mengalih kembali perhatian peminat kepada nyanyian saya.

"Lagu ini juga menjadi hadiah buat peminat saya dan mereka yang menggelarkan diri sebagai LoFattah (Gabungan peminat Neelofa dan Fattah)," katanya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Ahli Skuad Selebriti Oppo bagi telefon bimbit Oppo R9s di Nexus Bangsar, hari ini.

Fattah yang bakal muncul bersama filem KL Special Force tahun ini, terikat selama setahun bersama jenama telefon pintar berkenaan.

Bercerita soal lakonan, Fattah dijadualkan memulakan penggambaran drama Anak Jeneral terbitan A Aida Production bermula 10 Januari ini, selain menjadi penerbit eksekutif buat julung kalinya.

127 dibaca
Berita Harian X