Isnin, 2 Januari 2017 | 6:07pm

Diplomat Russia diusir dari AS tiba di Moscow


PESAWAT membawa 35 diplomat Russia yang diusir dari Amerika Syarikat berhubung dakwaan campur tangan negara itu dalam Pilihan Raya Presiden AS tiba di Moscow.

MOSCOW: Pesawat membawa 35 diplomat Russia yang diusir dari Amerika Syarikat berhubung dakwaan campur tangan negara itu dalam Pilihan Raya Presiden AS tiba di Moscow, awal hari ini.

Pesaway Il-96 membawa diplomat dan anggota keluarga mereka mendarat di Lapangan Terbang Vnukovo di Moscow pada jam 2.05 pagi waktu tempatan selepas berlepas dari Washington kelmarin, lapor televisyen Russia.

Liputan televisyen menunjukkan diplomat dan keluarga mereka mengumpulkan bagasi di landasan dalam hujan sebelum menuju ke dalam terminal.

Perisikan AS mendakwa Kremlin mengarahkan pasukannya menggodam dan menyiarkan emel staf kempen Parti Demokrat dan calonnya, Hillary Clinton dalam usaha memberikan kemenangan kepada calon Republikan, Donald Trump.

Moscow berulang kali menyangkal dakwaan itu.

Pengusiran diplomat yang digambarkan sebagai ejen perisikan berpangkalan di Kedutaan Russia di Washington dan Konsulat Russia di San Francisco, adalah sebahagian pakej sekatan diarahkan Presiden Barack Obama pada Khamis lalu dalam minggu terakhir pentadbirannya.

Obama juga mengarahkan penutupan dua misi Russia di New York dan Maryland yang dikatakan Amerika digunakan bagi tujuan berkaitan perisikan.

Presiden Russia, Vladimir Putin, minggu lalu menyelar Obama kerana "langkah tidak mesra" yang menyamai "provokasi bertujuan melemahkan hubungan kedua-dua negara."

Pemimpin Kremlin itu memberi amaran Russia berhak bertindak balas tetapi enggan mengarahkan pengusiran diplomat Amerika dari negara itu dan menjelaskan langkah Moscow selanjutnya akan berasaskan dasar yang diambil pentadbiran Presiden Donald Trump.

Keputusan Putin dianggap petanda beliau berharap kepada Trump untuk memulihkan semula hubungan Amerika-Russia selepas proses angkat sumpah lewat bulan ini. - AFP

739 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »