Jumaat, 30 Disember 2016 | 6:23pm

Elly Mazlein rakam single baharu Januari ini


ELLY Mazlein. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Biarpun gagal mara ke pentas akhir musim ketiga Gegar Vaganza (GV3), Elly Mazlein memberi impak yang cukup besar terhadap program realiti itu.

Sepanjang penyertaannya dalam GV3, ramai peminat ternanti-nanti apakah 'drama' yang bakal terjadi dengan penampilan penuh emosi penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini.

Menyusun strategi sempena kedatangan tahun baharu 2017, Elly berkongsi projek besar untuk merakamkan single terbaharu, tidak lama lagi.

"Insya-Allah, Januari ini, saya akan rakamkan single baharu dengan label adik-beradik, KRU.

"Selain itu, saya juga disunting menjadi duta produk dan bakal memenuhi undangan membuat persembahan bermula tahun baharu ini.

"Alhamdulillah, ini semua rezeki anak saya, saya hanya menumpang," katanya kepada BH Online.

Menyoroti pencapaiannya sepanjang 2016, Elly mengakui dia kini lebih dikenali, malah peminat menerima nama panggilan 'Kak Lina Pom Pom', yang digunakan sepanjang GV3.

Ditanya mengenai rahsia di sebalik nama itu, Elly memberitahu, semuanya berlaku secara kebetulan.

"Nama penuh saya adalah Sharifah Aida Mazlina atau ringkasnya Kak Lina. Gelaran 'pom pom' itu terjadi secara kebetulan apabila sering bergurau di belakang tabir dan ketika penggambaran.

"Secara tak sengaja istilah 'pom pom' timbul. Daripada berseloroh, akhirnya melekat sampai sekarang. Saya akui nama dan gelaran baharu itu tampak lebih mesra dan dekat di hati peminat," katanya.

Jelas ibu kepada Putri Sara Sefhia itu, nama Elly Mazlein diberi syarikat rakaman ketika beliau mula mengeluarkan album.

322 dibaca
Berita Harian X